
Bagaimanapun, katanya pendedahan Sidek yang juga bekas KSN di mahkamah, baru-baru ini berhubung isu berkenaan belum diteliti butirannya.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak wajar diulas lanjut susulan kes itu sedang dibicarakan di mahkamah.
“Kita mahu dapatkan butiran mengenai perkara itu terlebih dahulu, saya tak dapat lagi buat masa ini. Tambahan pula kes berkenaan telah disebut di mahkamah, jadi tak sesuai untuk saya ulas.
“Insya-Allah sekiranya ada apa-apa yang diperlukan oleh pihak berkaitan, kita akan tengok nanti,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Semalam, Veteran DAP Lim Kit Siang mendesak Sidek meletak jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi menjaga nama baik dan reputasi badan itu.
Lim berkata, penting bagi Sidek yang juga bekas KSN berbuat demikian selepas keterangannya dalam perbicaraan Najib Razak berkaitan 1MDB menimbulkan persoalan mengenai integritinya.
Sidek memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau difahamkan, 1MDB ditubuhkan sebagai dana politik kerajaan Barisan Nasional (BN) dan beliau menjadi ahli lembaga penasihat 1MDB pada 30 Ogos 2010, dengan menerima bayaran sebanyak RM30,000 sebulan sebagai penasihat hingga Januari 2013, sebelum dikurangkan kepada RM10,000.
Pelantikannya oleh Najib dibuat kerana bekas perdana menteri itu beranggapan pendapatan Sidek sebagai KSN ketika itu “terlalu kecil”.