
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan mengejut di kompleks CIQ bersama Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi tengah hari tadi.
Menurut Ismail, kekurangan itu perlu diselesaikan segera untuk kemudahan Keluarga Malaysia dan pengembara dari luar kerana ia merupakan antara pintu masuk utama negara.
“Kompleks ini sudah kembali pulih selepas sempadan negara dibuka semula sepenuhnya. Saya mendapati kemudahan-kemudahan termasuk pengangkutan awam dalam keadaan baik kecuali kerosakan eskalator dan pagar automatik untuk pemegang pasport Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebook rasmi beliau hari ini.
Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Ismail di Istana Bukit Serene.
Berangkat sama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Turut hadir Onn Hafiz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani.
Ismail turut diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari bersama Sultan Ibrahim.