Martabat BM jangan sampai korban bahasa lain, kata Anwar

Martabat BM jangan sampai korban bahasa lain, kata Anwar

Ketua pembangkang berkata penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sama penting.

Anwar Ibrahim berkata dalam memartabatkan bahasa Melayu tidak sepatutnya mengorbankan bahasa lain.
KUALA LUMPUR:
Anwar Ibrahim berkata isu bahasa tidak sepatutnya dijadikan mainan campur tolak dan menegaskan semua bahasa amat penting.

Ketua pembangkang berkata, penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah sama penting.

“Ya, rakyat Malaysia mesti komited dengan bahasa (Melayu), bukan sebagai retorik politik, tetapi (kita harus) menyokong semua usaha yang mungkin untuk meningkatkan kualiti dan tahap penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Ini bermakna (kita) perlu menyokong institusi, menterjemah karya agung ekonomi, sains, sastera, teknologi dan sebagainya,” katanya kepada media selepas menghadiri peluncuran kombo merdeka di pentas utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, pusat dagangan dunia (WTC).

Dalam pada itu, Anwar berkata, dalam memartabatkan bahasa Melayu, tidak sepatutnya mengorbankan bahasa lain.

Beliau turut menganggap bahasa Inggeris masih sangat penting sebagai bahasa antarabangsa.

“Biasanya, laporan sentiasa menjadi mainan campur tolak (di mana) jika saya sebut Bahasa (Melayu), itu bermakna saya tidak suka bahasa Inggeris dan jika saya menyokong bahasa Inggeris, saya tidak suka Bahasa (Melayu),” katanya.

Pada 22 Mei lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berharap skop kerjasama antara negara Asean dapat dirancang lebih rapi supaya bahasa Melayu kembali dijadikan “lingua franca”.

Beliau berkata, ia termasuk dalam aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan bahasa Melayu.

Ismail berkata, pentingnya semua sektor menggunakan bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana ia merupakan bahasa urusan rasmi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.