Butiran peribadi di laman web cetus kebimbangan

Butiran peribadi di laman web cetus kebimbangan

Seorang pengguna Twitter, @Radz1112, memaklumkan kepada FMT kewujudan laman web itu yang dapat mengakses maklumat peribadi tertentu milik rakyat negara ini.

Set data didakwa milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengandungi butiran jutaan rakyat Malaysia dijual pada September lalu, namun ia dinafikan Kementerian Dalam Negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kebimbangan mula tercetus susulan dakwaan sebuah laman web yang dikatakan mengandungi butiran peribadi rakyat Malaysia.

Pengguna Twitter, @Radz1112, berkata laman web itu bagaimanapun tidak dapat ditembusi, baru-baru ini, namun sebelum itu ia boleh digunakan pengguna menerusi carian pantas pelayar.

“Saya menjumpai laman web itu semasa menyemak sumber terbuka tempatan komuniti dalam Twitter.

“Dengan menggunakan nama dan tahun kelahiran seseorang akan memberikan maklumat peribadi tertentu seperti nombor kad pengenalan, sekiranya individu itu merupakan anggota polis atau tentera,” katanya memberitahu FMT.

Semakan di laman web itu sebelum ini, menunjukkan carian mudah seperti memasukkan nama penuh, tahun kelahiran atau negeri tempat tinggal akan menunjukkan nombor kad pengenalan yang disunting, dengan hanya dua nombor pertama dan dua nombor terakhir sahaja dipaparkan, selain alamat emel dan pautan ke profil media sosial.

Dalam pada itu, apabila memasukkan nombor telefon bimbit akan memaparkan nama didaftarkan, selain butiran lain. Nombor pendaftaran kenderaan juga boleh dimasukkan bagi mendapatkan maklumat tertentu.

Bagaimanapun, bagi mendapatkan butiran lebih terperinci individu, pengguna perlu membuka akaun di laman web itu termasuk membuat pembayaran yang dikatakan akan menunjukkan butiran lanjut dalam keputusan carian. Laman web terbabit menawarkan beberapa pakej pada harga berbeza bagi mendapatkan akses tertentu.

Pengguna Twitter, @Radz1112, berkata laman web itu boleh diakses sesiapa sahaja menerusi carian pantas pelayar.

@Radz1112 berkata, laman web berkenaan dianggap sebagai ancaman kepada pertahanan dan keselamatan negara berhubung data peribadi orang awam.

Sementara itu, setiausaha politik kepada veteran DAP Lim Kit Siang, Syahredzan Johan, mendesak pihak berkuasa tindakan serius berhubung dakwaan itu.

“Jelas, sebelum ini berlaku kebocoran maklumat data memandangkan maklumat itu sudah boleh didapati secara terbuka,” katanya selepas menyemak laman web itu secara peribadi.

Bulan lalu, laman web teknologi, Lowyat.net, melaporkan set data milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengandungi butiran 22.5 juta orang yang lahir bermula 1940 hingga 2004 bocor dengan maklumat itu dijual hampir RM44,000 dalam forum pasaran pangkalan data.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, bagaimanapun menafikan kebocoran maklumat, sambil menyatakan set data berkenaan tidak dimiliki JPN.

FMT sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri bagi ulasan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.