
Pengerusi biro aduan awamnya, Lim Lip Eng berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bersikap telus dan mendedahkan butiran kerja yang terlibat dan penetapan harga.
Awal minggu ini, dilaporkan kontrak itu diberikan kepada Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB), sebuah syarikat senaraian awam, melalui Ennova Sdn Bhd.
“Orang ramai tertanya-tanya, adakah kontrak bernilai RM30.75 juta itu semata-mata hanya untuk membina 200 tiang lampu?
“Adakah ini bermaksud pembinaan satu tiang lampu perlu menelan kos bernilai sebanyak RM153,750?” soal Ahli Parlimen Kepong itu dalam kenyataan.
Tambahnya, DBKL juga patut menjelaskan sama ada kontrak tersebut diberikan melalui tender terbuka.
“Mengapa kontrak itu perlu diberikan melalui Ennova Sdn Bhd dan bukannya terus daripada DBKL atau kerajaan?
“Tiada alasan untuk mengetepikan soal ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kontrak berbelanja begitu tinggi,” katanya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, SCIB berkata, kontrak itu adalah untuk perkhidmatan kejuruteraan projek bagi penggantian 200 unit tiang lampu di Kuala Lumpur.