Naikkan duti eksport ke atas sektor dapat permintaan tinggi, kata Najib

Naikkan duti eksport ke atas sektor dapat permintaan tinggi, kata Najib

Bekas perdana menteri berkata dana yang diperoleh melalui hasil itu boleh diagihkan semula kepada rakyat.

Sektor pertanian, petroleum dan pembuatan mendapat permintaan tinggi di luar negara pada masa ini, kata Najib Razak.
PETALING JAYA:
Duti eksport ke atas semua barangan yang mendapat sambutan di luar negara harus dinaikkan bagi mengimbangi kenaikan kos bahan api dan subsidi makanan, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib berkata, cukai lebih tinggi perlu dikenakan ke atas produk daripada sektor pertanian, petroleum dan pembuatan kerana ia sedang mendapat permintaan tinggi di luar negara.

“Kerajaan juga boleh pertimbangkan untuk naikkan duti eksport bagi sektor-sektor eksport yang kini sedang menikmati durian runtuh setelah permintaan dunia naik mencanak, seperti sektor perladangan, sektor petroleum dan sektor pembuatan.

“Dana yang diperoleh (melalui kutipan cukai) perlu diagihkan ke subsidi bagi jenis makanan yang (harganya) naik dengan kadar paling laju ataupun diberikan secara terus kepada rakyat,” katanya di Facebook.

Najib turut menggesa Bank Negara (BNM) memperbaiki kedudukan ringgit yang lemah dengan menegaskan pengeksport menukar hasil mereka kepada ringgit dan tidak menyimpan dana di luar pesisir dalam mata wang asing.

“BNM juga perlu lebih aktif dalam intervensi mata wang asing dengan menggunakan rizab antarabangsanya yang bernilai USD113 bilion untuk membeli ringgit Malaysia,” katanya.

Najib berkata, walaupun cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak boleh diperkenalkan semula ketika inflasi sedang tinggi, usaha mesti dilakukan untuk memastikan kos bahan api kekal mampu milik.

Katanya, jika kerajaan tiada pilihan selain memansuhkan subsidi bahan api, ia perlu dilakukan secara beransur-ansur.

“Jika keadaan kewangan negara memaksa kerajaan mengurangkan subsidi ini secepat mungkin, harga minyak dan diesel subsidi hanya boleh dinaikkan secara perlahan dan secara bertingkat-tingkat. Jangan ditarik serta-merta. Jangan melebihi 10 sen setiap kali naik,” katanya.

Mengenai kekurangan bekalan ayam, Najib berkata, kawalan harga sahaja tidak akan dapat menangani masalah itu, terutamanya apabila harga siling terlalu rendah berbanding kos pengeluaran sebenar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.