Dakwa Dr M ‘guna mahkamah’, mengapa Tommy Thomas tak siasat, tanya peguam

Dakwa Dr M ‘guna mahkamah’, mengapa Tommy Thomas tak siasat, tanya peguam

Haniff Khatri Abdulla berkata, jika bekas peguam negara itu percaya Dr Mahathir Mohamad menggunakan mahkamah untuk 'menyekat' Anwar Ibrahim, beliau sepatutnya bertindak.

Haniff Khatri Abdulla berkata, Tommy Thomas juga mesti menjelaskan apa yang dimaksudkannya dengan Dr Mahathir Mohamad ‘menggunakan mahkamah’.
PETALING JAYA:
Seorang peguam yang dikaitkan dengan Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa Tommy Thomas, semasa menjadi peguam negara, tidak memulakan inkuiri terhadap bekas perdana menteri itu atas kemungkinan campur tangan urusan kehakiman.

Haniff Khatri Abdulla berkata, jika Thomas percaya Mahathir menggunakan mahkamah untuk “menyekat” Anwar Ibrahim, beliau sepatutnya bertindak.

“Jika beliau percaya perkara itu berlaku, walaupun hanya sedikit, bukankah menjadi tanggungjawab utamanya sebagai peguam negara untuk menubuhkan jawatankuasa menyiasat perkara itu?

“Kenapa beliau tidak berbuat demikian dan mengesahkannya?”

Dalam wawancara dengan China Press, Thomas berkata, Anwar fikir beliau akan menggantikan Mahathir, namun dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 sebelum didakwa dan dipenjarakan kerana liwat dan rasuah.

Thomas berkata, Ahli Parlimen Port Dickson itu dipenjarakan kerana “Mahathir, khususnya, berasa terancam olehnya dan menggunakan mahkamah untuk menyekatnya”.

Kegagalan Thomas untuk bertindak atas apa yang dipercayainya itu, kata Haniff, membuktikan bahawa beliau tiada asas dalam mengeluarkan kenyataan “tidak bertanggungjawab” seperti itu.

“Tommy Thomas mesti menjawab ini,” kata Haniff dalam kenyataan.

Katanya lagi, Thomas, yang berkhidmat sebagai pendakwa raya tertinggi negara semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, mesti menjelaskan maksudnya apabila mendakwa Mahathir “menggunakan mahkamah”.

Beliau berkata, terdapat dua cara seseorang boleh “menggunakan mahkamah”.

Satu melalui hakim tertentu yang membicarakan kes Anwar pada 1998, satu lagi dengan menggunakan Jabatan Peguam Negara untuk membuat tuduhan, tambahnya.

“Yang mana satu dimaksudkan (Thomas)?”

Pada Jumaat, bekas perdana menteri Najib Razak meminta Thomas menjelaskan maksudnya apabila berkata Mahathir “menggunakan mahkamah” untuk menyekat Anwar daripada menggantikannya sebagai perdana menteri pada akhir 1990-an.

Tahun lepas, Mahathir menolak dakwaan beliau mencampuri urusan mahkamah, memberitahu FMT bahawa mahkamah membuat keputusan yang tidak memihak kepadanya dalam beberapa kes, terutamanya apabila Umno – ketika beliau menjadi presiden – diisytiharkan sebagai haram oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Feb 1988.

Mahathir berkata, tuduhan campur tangan itu timbul akibat penyingkiran Salleh Abas sebagai ketua hakim negara pada 1988, yang seterusnya membawa kepada penyingkiran lima hakim Mahkamah Agung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.