Benarkan banduan akhir buat rayuan, peguam beritahu kerajaan

Benarkan banduan akhir buat rayuan, peguam beritahu kerajaan

Sebarang semakan terhadap hukuman banduan akhir perlu dilakukan oleh Mahkamah Persekutuan, kata peguam.

Pada masa ini, kes yang membawa hukuman mati mandatori dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan atas rayuan.
PETALING JAYA:
Putrajaya harus meminda undang-undang tertentu bagi membolehkan banduan akhir merayu selepas hukuman mati mandatori dimansuhkan, kata seorang peguam.

Kitson Foong berkata, ini termasuk Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Akta Mahkamah Kehakiman.

“Jika kerajaan benar-benar mahu memberikan semula kuasa kepada mahkamah untuk memutuskan hukuman mati yang dikenakan, semakan itu perlu didengar di Mahkamah Persekutuan, di mana ia berakhir sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Pada masa ini, kes yang membawa hukuman mati mandatori dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan atas rayuan.

Mereka yang gagal dalam rayuan terakhir di mahkamah tertinggi boleh mendapatkan bantuan terakhir di hadapan lembaga pengampunan.

Foong turut menolak cadangan agar tribunal ditubuhkan bagi mengkaji kes mereka yang telah dijatuhkan hukuman mati mandatori.

“Tak masuk akal untuk mana-mana badan atau tribunal menyemak hukuman yang telah dijatuhkan pada masa lalu,” katanya.

“Anda tidak boleh minta orang luar menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan semalam kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan tertentu dan membenarkan budi bicara hakim dalam menjatuhkan hukuman.

Katanya, kes yang membawa hukuman mati mandatori tetapi masih belum dibicarakan di mahkamah akan ditangguhkan sehingga hukuman itu dimansuhkan.

Sementara itu, peguam Haijan Omar berkata, sebarang pindaan mestilah adil kepada mereka yang telah dijatuhkan hukuman.

“Pada masa ini moratorium hukuman mati masih berkuat kuasa. Apa gunanya letakkan mereka (banduan hukuman mati) bawah moratorium jika tiada niat untuk mengguna pakai pindaan itu secara retrospektif?”

Seorang lagi peguam, Rafique Rashid Ali mempersoalkan kerajaan kerana tidak menetapkan tarikh akhir bila rang undang-undang itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Bagi saya, ini hanyalah ‘kenyataan bersifat populis’ tanpa sebarang jangka masa dan pengesahan konkrit mengenai rancangan kerajaan.

“Keputusan Jemaah Menteri tiada kuasa undang-undang,” katanya.

Langkah yang tepat

Sementara itu, pengumuman kerajaan itu disambut baik oleh bekas ketua polis negara (KPN) Khalid Abu Bakar, yang menyifatkannya sebagai “langkah ke arah yang betul.”

“Saya setuju dengan keputusan ini. Saya rasa hakim mesti diberi (peluang menggunakan) budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jadi, ini satu langkah yang baik,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, hakim yang membicarakan kes dengan kesalahan yang membawa hukuman mati adalah paling sesuai untuk memutuskan sama ada pesalah patut dijatuhkan hukuman mati.

“Hakim akan dapat menimbang semua keterangan yang dikemukakan sebelum menjatuhkan hukuman,” katanya sambil menambah, peruntukan hukuman mati mandatori semasa tidak memberi pilihan kepada hakim.

Bagaimanapun, beliau menegaskan hukuman mati perlu kekal sebagai pilihan, terutamanya bagi kesalahan berkaitan pengedaran dadah.

“Hanya bahagian ‘mandatori’ sahaja yang patut dimansuhkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.