2 maut, 3 cedera pacuan 4 roda rempuh tiang jejantas

2 maut, 3 cedera pacuan 4 roda rempuh tiang jejantas

Mangsa terbunuh dikenali Charles Singgai, 24, dan Rizky Ahmad Hua Abdullah, 35.

Semua mangsa menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux dipercayai dalam perjalanan dari Pasir Gudang menghala ke Perling. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Dua maut manakala tiga lagi cedera selepas pacuan empat roda dinaiki terbabas dan melanggar tiang jejantas di Lebuhraya Pasir Gudang-Taman Damansara Aliff, pagi tadi.

Pegawai Bomba Kanan II, Wan Nor Affendi Wan Yusoff, berkata mereka yang terbunuh dikenali sebagai Charles Singgai, 24, dan Rizky Ahmad Hua Abdullah, 35.

Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian penumpang dan seorang lagi dilaporkan tercampak dari kenderaan.

Beliau berkata, mangsa yang cedera iaitu Douglas Martin, 29, Kareno Esang, 39, dan Andy Mieky Bunyah, 22, dan mereka dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut.

“Semua mangsa menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux dipercayai dalam perjalanan dari Pasir Gudang menghala ke Perling.

“Sembilan anggota digegaskan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden itu pada 6.39 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Operasi menyelamat selesai pada 7.55 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.