Waspada minat China dalam industri sawit di Sabah, kerajaan diberitahu

Waspada minat China dalam industri sawit di Sabah, kerajaan diberitahu

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menjelaskan sejak 2011 hingga 2020 syarikat China membeli dan memajak hampir tujuh juta hektar tanah pertanian dan perlombongan di negara luar.

Salahuddin Ayub berkata, hasrat China untuk melabur dalam industri sawit di Sabah perlu dilihat daripada beberapa perspektif.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menggesa kerajaan supaya lebih berhati-hati terhadap pendekatan serta minat yang disuarakan China dalam industri minyak sawit di Sabah.

Salahuddin berkata, Menteri Luar China, Wang Yi melawat Sabah pada 4 Jun lalu dan menyatakan minat negaranya untuk meneroka industri minyak sawit negeri itu kepada Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan.

“Walaupun secara umumnya kemasukan pelabur asing ke negara kita harus digalakkan, hasrat China untuk melabur dalam industri sawit perlu dilihat daripada beberapa perspektif,” katanya dalam kenyataan.

Salahuddin berkata, sejak 2011 hingga 2020, syarikat China telah membeli dan memajak hampir tujuh juta hektar tanah pertanian dan perlombongan di luar negara itu.

Katanya, pengalaman pelbagai negara seperti Sri Lanka, Tanzania dan Republik Demokratik Congo juga membuktikan pinjaman dan pelaburan secara besar-besaran daripada China yang gagal diurus dengan baik boleh berakhir dengan kehilangan aset, hartanah mahupun kedaulatan negara kepada China.

Tambahnya lagi, pemindahan milik tanah kepada negara luar akan mengancam kedaulatan sesebuah negara.

“Kedudukan Sabah yang strategik dalam perebutan pengaruh dan kuasa di Laut China Selatan (antara China dan kuasa Barat) juga menuntut kita lebih berhati-hati dalam menilai dan menerima setiap tawaran pelaburan daripada negara tersebut,” katanya.

Katanya, sikap berhati-hati ini juga dizahirkan apabila Indonesia menolak permintaan China untuk memiliki tanah pertanian dan perladangan di negara itu.

“Kerajaan mesti jelas dan tegas dalam mengambil pendekatan yang sama, iaitu terus meraikan dan mengekalkan hubungan dagang yang rapat hanya sebagai pembekal dan pengguna dengan China.

“Kedaulatan negara harus dipelihara daripada sebarang ancaman walaupun melibatkan soal pelaburan asing, hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.