Peguam kerajaan tarik diri wakil guru disaman Ain

Peguam kerajaan tarik diri wakil guru disaman Ain

Bagaimanapun kerajaan tidak menarik balik untuk mewakili bekas guru besar Sarimah Mohammed Nor.

Ain Husniza dan bapanya Saiful Nizam Abdul Wahab disaman oleh seorang guru yang didakwa membuat jenaka rogol di hadapan pelajar.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak lagi mewakili seorang guru yang disaman balas oleh pelajar Ain Husniza Saiful Nizam berhubung jenaka rogol, menurut pemfailan mahkamah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini.

Dalam permohonannya yang dilihat FMT, Peguam Persekutuan Muhairi Mohamed Noh berkata, beliau menarik diri daripada mewakili guru Khairul Nizam Sanuddin, selepas mendapati beliau masih mempunyai peguam dalam bicaranya dan wujud satu “pertindihan dalam perwakilan”.

Bagaimanapun, kerajaan tidak menarik balik representasi bekas guru besar Sarimah Mohammed Nor, seperti yang diminta Ain sebelum ini.

Ain dan bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab membantah peguam kerajaan yang mewakili Khairul dan Sarimah, kerana mereka telah menyaman dan disaman balas atas kapasiti peribadi mereka.

Dalam permohonan itu, mereka juga mendakwa tindakan peguam persekutuan bertindak bagi bekas guru besar berkenaan adalah salah, kerana dia bukan lagi penjawat awam pada masa saman difailkan.

Khairul, 43, menyaman Ain dan bapanya kerana didakwa membuat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya di media sosial dan kemudian menerusi temu bual di akhbar.

Ain dan bapanya kemudian memfailkan saman balas terhadap Khairul dan seterusnya menamakan Sarimah, Pengarah Pendidikan Selangor Anismah M Noh, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.

Saman balas terhadap mereka antara lain, kerana melakukan kesalahan dengan sengaja menimbulkan tekanan emosi berhubung jenaka rogol yang didakwa dibuat semasa kelas pendidikan jasmani di sekolah dan selepas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.