
Johan Ariffin Samad menyifatkannya sebagai “karut” kerana ia bukanlah daerah termiskin di negara ini.
Beliau berkata, sebagai “menteri kewangan untuk negara”, Tengku Zafrul sebaliknya perlu memberi tumpuan terhadap negeri miskin seperti Sabah.
Memetik laporan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), beliau berkata, Sabah mempunyai lapan daripada 10 daerah termiskin dan lebih perlu dijadikan daerah angkat berbanding Kuala Selangor.
Daerah itu ialah Pitas, Kudat, Kota Belud, Beluran, Tongod, Nabawan, Telupid dan Kota Marudu.
“Idea untuk menjadikan kawasan maju di Selangor sebagai daerah angkat nampak ‘mengarut’,” kata Johan yang juga bekas ketua Institut Kajian Pembangunan (IDS).
Beliau menegaskan, ini adalah kali pertama seorang menteri persekutuan mencadangkan untuk menjadikan kawasan tertentu sebagai daerah angkat di bawah portfolionya.
“Mengapa perlu salurkan lebih banyak sumber ke Selangor yang telah kaya? Nampaknya beliau kelihatan tidak tahu yang mana lebih penting.
“Menteri kewangan harus menggunakan sumber persekutuan untuk membantu rakyat di daerah termiskin di Malaysia, bukan kawasan kegemarannya,” kata Johan yang juga anggota G25.
Katanya, Sabah perlu berdepan banyak masalah infrastruktur yang menyumbang kepada tahap kemiskinan yang tinggi dan sepatutnya menjadi tumpuan Kementerian Kewangan.
Menurutnya, menteri persekutuan dari Sabah harus menyuarakan perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan menuntut lebih banyak bantuan pembangunan kepada daerah termiskin di negeri itu.
“Mereka tidak harus berdiam diri,” katanya.
Isnin lalu, Tengku Zafrul yang dikatakan mengintai kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan dengan spekulasi akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor berkata, beliau mahu kementerian itu menjadikan kawasan tersebut sebagai daerah angkat bagi membantunya membangun.