Jangan lanjut tempoh EIA lebuh raya P Pinang, Putrajaya diberitahu

Jangan lanjut tempoh EIA lebuh raya P Pinang, Putrajaya diberitahu

Pulau Pinang memohon untuk melanjutkan tempoh sah laku EIA yang tamat 10 April lalu.

Lim Mah Hui dan Khoo Salma Nasution daripada Penang Forum berharap JAS akan terus menegakkan piawaian alam sekitar tanpa rasa takut atau pilih kasih.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa tidak melanjutkan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk lebuh raya Pan Island Link 1 Pulau Pinang, projek yang dirasakan menimbulkan ancaman kepada ekosistem sensitif pulau itu.

Ia susulan laporan media bahawa Pulau Pinang memohon untuk melanjutkan tempoh sah laku EIA yang tamat pada 10 April lalu.

Menerusi surat kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) hari ini, Penang Forum berkata EIA tidak seharusnya dilanjutkan, kerana ia akan menjadi contoh buruk dan boleh ditafsirkan sebagai salah guna kuasa.

NGO itu berkata, sebelum pihak mereka telah menghantar dokumen setebal 38 muka surat maklum balas pakar mengenai projek itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan bekas menteri alam sekitar, Yeo Bee Yin, namun tidak pernah menerima sebarang maklum balas.

“Dukacitanya, Penang Forum tidak pernah mendapat maklum balas yang terperinci ke atas ‘Laporan Feedback’ itu.

“Kami berharap bahawa JAS akan terus menegakkan piawaian alam sekitar yang tertinggi tanpa rasa takut atau pilih kasih, demi rakyat dan generasi mendatang,” kata kumpulan itu yang diwakili Lim Mah Hui dan Khoo Salma Nasution.

Surat itu juga dihantar kepada Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

EIA telah diberikan pada 10 April 2019, dengan tempoh tamat selama dua tahun. Ia dilanjutkan setahun lagi pada 2021. Projek sepanjang 19.5km itu masih belum dimulakan kerana isu pembiayaan dan akan menelan belanja RM7.5 billion.

Pada 2018, Penang Forum mendapati EIA PIL 1 tidak memuaskan dan mengeluarkan laporan kepada JAS menggesa mereka menolak EIA dan mengarahkan supaya satu lagi EIA baharu dijalankan.

Antara kebimbangan utama forum ialah EIA tidak memenuhi piawaian ditetapkan bawah undang-undang alam sekitar dan ancaman tenggelam akibat penggerudian dan letupan dalam terowong melalui banjaran Bukit Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kerajaan negeri telah meredakan kebimbangan itu dengan berkata proses terowong akan dilakukan secara perlahan dan berterusan.

Dalam laporan itu, merujuk kepada amaran daripada mereka yang menyediakan EIA sendiri, di mana lebuh raya PIL 1 akan kembali sesak menjelang 2030, iaitu kira-kira lima hingga tujuh tahun selepas lebuh raya itu dijadualkan siap.

Kerajaan Pulau Pinang berkata projek itu dilaksanakan secara profesional dan 80% rakyat menyokong projek itu, yang dipanggil “majoriti senyap”.

Lebuh raya enam lorong sepanjang 19.5km itu akan menghubungkan Gurney Drive ke timur laut pulau melalui bukit Air Itam, Paya Terubong dan Sungai Ara sebelum berakhir berhampiran dengan lapangan terbang dan jambatan kedua di selatan.

Ia akan membolehkan pemandu tiba di lapangan terbang dari Gurney Drive dalam masa 15 minit.

FMT telah menghubungi kerajaan Pulau Pinang, Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang dan Jabatan Alam Sekitar untuk mendapatkan ulasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.