Ibu warga Malaysia masih tunggu kerakyatan anak daripada JPN

Ibu warga Malaysia masih tunggu kerakyatan anak daripada JPN

Mereka kecewa kerana Jabatan Pendaftaran Negara memberitahu perlu terus menunggu permohonan kewarganegaraan anak sehingga diluluskan.

Seorang ibu yang hanya mahu dikenali Esther adalah antara mereka daripada pertubuhan NGO, Family Frontiers yang berada di ibu pejabat JPN Putrajaya untuk bertanyakan mengenai permohonan kewarganegaraan anak mereka hari ini.
PUTRAJAYA:
Sekumpulan ibu warga Malaysia kecewa selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberitahu bahawa mereka perlu terus menunggu permohonan kewarganegaraan anak masing-masing sehingga diluluskan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September lalu memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia berhak mendapat kerakyatan automatik, bagaimanapun Putrajaya telah merayu untuk membatalkan keputusan itu dan akan diumumkan pada 22 Jun.

Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Esther, adalah antara mereka daripada pertubuhan NGO, Family Frontiers yang berada di ibu pejabat JPN untuk bertanyakan mengenai permohonan kewarganegaraan anaknya hari ini.

Esther berkata, dia memfailkan permohonan itu pada awal Mac, tetapi permintaannya untuk bercakap dengan pegawai bertanggungjawab berhubung kelewatan itu ditolak. Dia menambah telah berulang kali diberitahu bahawa permohonannya “masih dalam proses”.

Beliau kemudian diberitahu bahawa status permohonan hanya boleh disemak selepas enam bulan dari tarikh permohonan.

“Dua minggu lalu semasa saya berada di sini, mereka memberitahu saya terlebih dahulu bahawa mereka akan menerima dokumen saya kerana perintah mahkamah, tetapi tidak akan memprosesnya,” katanya.

Ahli NGO Family Frontiers bersama anak mereka di luar ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya hari ini.

Seorang lagi ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Rachel berkata, respons pegawai JPN selepas perintah Mahkamah Tinggi dibuat adalah “arbitrari dan tidak bersungguh-sungguh”.

“Mereka memberitahu semua ibu perkara yang sama, walaupun anda kembali selepas enam bulan, itu tidak bermakna anda akan mendapat apa-apa,” katanya.

“Ia tidak masuk akal kerana berdasarkan perintah Mahkamah Tinggi, anak-anak kami sepatutnya sudah menjadi warganegara. Ia mengecewakan.”

Katanya, sukar untuk dia menjelaskan kepada anaknya mengapa dia tidak mempunyai kerakyatan Malaysia tidak seperti adik lelakinya yang dilahirkan di negara ini.

Walaupun dia tidak berkata apa-apa mengenainya, Rachel berkata, anaknya sering melukis komik tentang terpaksa meninggalkan Malaysia dan keluarganya, yang juga menunjukkan kebimbangan yang dilalui oleh kanak-kanak.

Seorang lagi ibu, Khairun Nisan Taslim berkata, walaupun dia bekerja dengan gaji lumayan di Portugal, dia memilih untuk pulang ke Malaysia dan membesarkan anaknya di sini atas sebab agama.

“Saya percaya adalah penting baginya untuk belajar tentang Islam (tetapi) terdapat peluang terhad untuk itu di Portugal,” katanya.

“Tetapi ini bukan mengenai bangsa atau agama, ia mengenai kewarganegaraan. Hak kewarganegaraan seseorang adalah untuk semua orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.