Tiada Mesyuarat Khas, RUU Anti-Lompat Parti dibentang 18 Julai

Tiada Mesyuarat Khas, RUU Anti-Lompat Parti dibentang 18 Julai

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memutuskan tiada keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahas rang undang-undang itu.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antara faktor yang dipertimbangkan adalah kos untuk melaksanakan Mesyuarat Khas bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
PETALING JAYA:
Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang dijadualkan bermula 18 Julai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam satu kenyataan eliau berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan rang undang-undang itu.

Katanya, antara faktor yang dipertimbangkan adalah kos untuk melaksanakan Mesyuarat Khas bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang mencecah kira-kira RM1,077,600.00, tidak termasuk kos operasi.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Khas mencadangkan supaya RUU itu dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama Julai 2022 – berbanding menunggu sidang yang dijadualkan dari 18 Julai hingga 4 Ogos.

Wan Junaidi juga berkata ramai ahli Parlimen akan ke luar negara sehingga pertengahan Julai untuk mengikuti program anjuran Parlimen yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan lain-lain pihak berkepentingan.

“Sebagai contoh terdapat dua Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan ke luar negara pada awal Julai sehingga pertengahan Julai iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan,” katanya.

Katanya, pembentangan RUU itu mengikut takwim Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan datang dan ia akan memberi masa mencukupi untuk ia diteliti oleh ahli Parlimen sebelum dibahas.

“Perkara ini tidak dapat dilaksanakan jika Mesyuarat Khas diadakan. Jika Mesyuarat Khas diadakan, ia hanya dapat diadakan pada pertengahan Julai memandangkan ketiadaan ramai ahli Parlimen sebelum pertengahan Julai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.