
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos, berkata hasrat bekas ADUN Sungai Burong itu yang mahu membuat “comeback” sebagai calon dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hanya akan memecahkan perpaduan Umno negeri.
Beliau berkata, Umno Selangor ketika ini hanya ada seorang pemimpin ke hadapan iaitu Noh Omar yang merupakan ketua Umno negeri, Ahli Parlimen Tanjong Karang dan juga anggota Jemaah Menteri.
“Khir pernah menjawat jawatan paling tinggi di Selangor iaitu menteri besar, saya rasa sewajarnya beliau curahkan segala pengalamannya kepada Umno Pusat.
“Soal Tengku Zafrul pula, kami mengalu-alukan beliau sebagai menteri kewangan untuk turun ke Sungai Besar atau mana-mana bahagian di Selangor bagi membantu kami. Jadi, soal penerimaan sebagai calon itu tidak timbul,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Jamal turut memberi amaran kepada Khir dan penyokongnya supaya berhenti daripada meneruskan agenda membawanya kembali dalam pilihan raya akan datang.
Terdahulu, Noh dalam temubual dengan akhbar berkenaan mengingatkan Khir adalah menteri besar ketika Umno dan Barisan Nasional (BN) tewas kepada pembangkang dalam PRU12, pada 2008.
Katanya, BN pada 2004 selepas PRU11 memenangi 54 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerusi tewas adalah Sungai Pinang dan Sekinchan yang berada dalam Parlimen Sungai Besar ketika Khir menjadi ketua bahagian.