
“Perundingan telah berjalan dan selesai dengan baik. Tiada isu lagi dan tiada masalah di kedua-dua pihak antara kerajaan (negeri) dan penganjur. Tiada sekatan.
“Nak masuk boleh tapi kena mohon, sama seperti negeri lain juga. Tak semestinya ada tauliah, tapi kalau ada (tauliah) lebih baik, kalau tiada, boleh mohon kebenaran sementara, tiada masalah,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Asri bahawa beliau tidak dibenarkan berceramah di satu program di Taman Aulia, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini kerana tidak mempunyai tauliah.
Forum bertajuk ‘Harta yang batil dan kesan kepada masyarakat’ turut menampilkan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis, Rozaimi Ramle sebagai panel, serta tokoh PAS Kelantan, Johari Mat.
Bagaimanapun difahamkan forum anjuran seorang ahli perniagaan, Wan Ariff Wan Hamzah dibatalkan susulan arahan JAHEIK kerana Asri dan Rozaimi tidak mempunyai tauliah daripada jabatan berkenaan.
Surat pembatalan yang dikatakan daripada JAHEIK itu juga tersebar di media sosial dengan memperincikan bahawa jika forum berkenaan diteruskan tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 121, iaitu mengeji pihak berkuasa atau pegawai majlis dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Walaupun forum itu dibatalkan, ia ditukar kepada majlis ramah mesra. Pada awalnya, ia berjalan lancar namun pada akhir majlis ia dicemari dengan provokasi oleh sekumpulan anak muda yang melaungkan slogan “tolak Wahabi”.
“Pada akhir majlis ada sekumpulan anak muda masuk, dari jauh saya dapat tengok ada anak muda sebahagiannya berseluar pendek, ada merokok, menutup muka dan datang ke sini berhimpun membantah kononnya atas isu Wahabi dan seumpamanya… kemudian mereka keluar dalam keadaan menjerit-jerit, ada yang bertakbir,” kata Asri di Facebook.
Sebelum ini, Asri tidak dibenarkan berceramah di Selangor dan Terengganu kerana tiada tauliah daripada majlis agama negeri berkenaan.
FMT sedang mendapatkan reaksi Asri mengenai perkara itu.