Polis minta mangsa penipuan tempahan ‘homestay’ buat laporan

Polis minta mangsa penipuan tempahan ‘homestay’ buat laporan

Polis Terengganu berkata setakat ini pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang baru-baru ini menerima pesanan ringkas daripada satu nombor telefon yang mengaku sebagai pemilik rumah inap.

Menurut polis, mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke satu akaun berjumlah RM221.50 dan pada hari sama mendapati rumah inap itu tidak wujud.
KUALA TERENGGANU:
Polis sedang menyiasat kes penipuan tempahan rumah inap seperti yang dilaporkan berlaku di negeri itu baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu M Zambri Mahmud berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang baru-baru ini menerima pesanan ringkas daripada satu nombor telefon yang mengaku sebagai pemilik rumah inap di Jalan Pasir Panjang, di sini.

“Pada hari yang sama mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke satu akaun berjumlah RM221.50. Mangsa pergi ke ‘homestay’ (rumah inap) berkenaan dan mendapati ia tidak wujud.

“Mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan tempahan rumah inap berkenaan supaya segera membuat laporan polis.

Dilaporkan semalam, hasrat beberapa pelancong untuk bercuti ke negeri itu terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap yang ditempah sebenarnya tidak wujud.

Mangsa dilaporkan cuba menghubungi “pemilik” rumah inap itu namun gagal dan penduduk yang tinggal berdekatan lokasi berkenaan memaklumkan bahawa rumah inap tersebut tidak wujud.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.