
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pendirian itu tetap akan dipakai selagi mana tiada arahan atau keputusan terbaharu daripada PAS Pusat walaupun Umno memaklumkan bahawa formula pengagihan kerusi antara parti itu menerusi Muafakat Nasional (MN) sebelum ini tidak lagi terpakai selepas parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Bagi PAS Selangor, perbincangan berhubung pertimbangan prinsip dan formula pembahagian kerusi dalam MN masih lagi terpakai bagi mengelakkan persaingan tiga penjuru.
“Apapun selagi tiada arahan atau keputusan terbaharu daripada PAS Pusat itulah pendirian PAS Selangor yang tidak bercanggahpun dengan keputusan PAS sehingga kini,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, semua pemimpin parti tidak perlu angkuh dalam membuat keputusan yang akhirnya merugikan usaha pembangkang Selangor menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
“Di Selangor tidak ada kaedah lain bagi menghadapai PRU15 kecuali menerusi satu lawan satu untuk menumbangkan PH. Di sinilah perlunya parti pembangkang di Selangor berlapang dada dalam membincangkan kerusi yang akan dipertandingkan dalam PRU nanti.
“Calon yang berwibawa dan satu lawan satu menjadi fokus untuk menawan kembali Selangor. Pimpinan semua parti tidak perlu angkuh yang akhirnya memberi kemenangan kepada lawan. Kekuatan akar umbi dan jentera parti harus terus diperkasakan,” katanya.
Katanya, PAS komited dalam agenda penyatuan ummah terutamanya bersama parti teras Melayu Islam, NGO dan parti bukan teras Melayu Islam yang tidak ekstrem.
“Agenda MN dan PN kekal hingga ke hari ini walaupun MN tiada ikatan rasmi (dari segi) pendaftaran dan PAS boleh sahaja meninggalkan Bersatu sekiranya parti berkenaan komited dalam pendekatan kemah besar melibatkan DAP,” katanya.
Terdahulu Ketua Umno Selangor, Noh Omar berkata, formula pengagihan kerusi antara Umno dengan PAS menerusi MN di Selangor sebelum ini tidak lagi terpakai selepas parti itu menyertai PN.
Antara formulanya adalah mana-mana kerusi yang dimenangi calon PAS atau Umno pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kekal ditandingi calon daripada parti terbabit.