
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pengerusi Pejuang itu memerlukan Anwar lebih daripada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk menumbangkan Barisan Nasional/Umno kerana gandingan aura berkenaan dikatakan memacu kemenangan mengejut Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
“Mahathir memerlukan Anwar lebih daripada Muhyiddin; momentum itulah yang memacu kemenangan PH dengan Mahathir ketika itu pengerusinya untuk menumbangkan BN-Umno pada 2018.
“Menumbangkan BN/Umno memerlukan kesatuan pelbagai daya kekuatan politik pembangkang dan peranan Anwar bukan berada di pinggiran, tetapi sebagai induknya atau setidak-tidaknya sebahagian daripada induknya,” katanya kepada FMT.

Beliau juga merujuk Anwar sebagai pemimpin berjiwa reformis berbanding Muhyiddin – pemimpin kronisme cetakan Mahathir.
Dalam satu wawancara khas bersama Utusan Malaysia, bekas perdana menteri itu menyatakan keengganannya untuk bekerjasama dengan Anwar dan Muhyiddin meskipun mengakui kepentingan kerjasama antara parti pembangkang di bawah pendekatan khemah besar untuk menumbangkan BN.
Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata, sikap pemimpin pembangkang yang “tidak lurus” atau tidak jujur menjadi sebab mengapa partinya menolak konsep khemah besar pada hari ini.

Ini kerana katanya, dua pemimpin berkenaan – Anwar dan Muhyiddin – mempunyai agenda menjaga kepentingan sendiri tanpa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kenyataan terbuka Mahathir itu memberi persepsi bahawa beliau paling layak mengetuai khemah pembangkang dan mahu menjadi “poster boy” gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.
“Kenyataan Mahathir memberi persepsi bahawa dia lebih layak ketuai pembangkang dan ia bukanlah strategi baharu kerana dominasi Mahathir dalam politik negara amat besar dan sebagai seorang perdana menteri dua kali sudah tentu beliau tidak mahu jadi orang kedua,” katanya.

Nirwandy juga menjangkakan suasana pilihan raya umum (PRU) akan datang sangat menarik kerana akan memperlihatkan sama ada parti pembangkang turut serta dalam strategi politik Mahathir atau memilih suatu bentuk penjajaran baharu dengan lambang atau individu tertentu untuk mengetuai khemah besar pembangkang.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, Mahathir tidak boleh menganggap auranya sekuat sebelum PRU ke-14 dengan membuat kenyataan berani tidak mahu membabitkan Anwar dan Muhyiddin.
“Jika aura Mahathir (seperti) sebelum PRU14 tiada masalah untuk tidak mengendahkan Muhyiddin dan Anwar, tetapi dalam keadaan sekarang sukar untuk menentukan jika Anwar dan Muhyiddin diketepikan maka aura Mahathir sudah mencukupi untuk menarik parti pembangkang dalam satu khemah,” katanya.