
Tommy Thomas, yang berkhidmat sebagai pendakwa raya tertinggi negara semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan berkata, beliau berasa sedih bagi pihak presiden PKR itu, lapor China Press.
Katanya, Anwar menyangka dirinya akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad, namun dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 sebelum didakwa dan dipenjarakan atas tuduhan liwat dan rasuah.
Thomas berkata, ahli Parlimen Port Dickson itu dipenjarakan kerana “Mahathir khususnya berasa terancam olehnya dan menggunakan mahkamah untuk menyekatnya”.
“Kasihan beliau dipenjarakan, tetapi itu tidak bermakna 24 tahun kemudian – kita sekarang dalam tahun 2022 – beliau ada hak automatik untuk menjadi perdana menteri. Tidak, pengundi mungkin tidak setuju,” katanya seperti dipetik oleh akhbar harian Cina itu.
Thomas berkata, Anwar perlu memuhasabah diri.
“Beliau perlu lihat cermin dan bertanya, ‘Mengapa saya selalu terlepas (peluang ini)?'”
Persoalannya katanya, adalah sama ada Anwar menguasai sokongan majoriti.
“Soalan seterusnya ialah mengapa beliau tidak dapat angka sokongan yang mencukupi?”
Pada April, Anwar menegaskan beliau mendapat sokongan kebanyakan ahli Parlimen pada 2020 yang akan menjadikannya perdana menteri. Katanya kepada Malaysiakini, beliau masih mempunyai surat sokongan daripada ketua-ketua parti.
Bagaimanapun, usahanya untuk menjadi perdana menteri seterusnya disekat oleh mereka yang tidak bersetuju dengan “syarat tertentu”.
Pada September 2020, Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan “majoriti yang kuat, meyakinkan, menggerunkan” untuk membentuk kerajaan baharu dan mengisytiharkan kejatuhan kerajaan Muhyiddin Yassin.
Baru-baru ini, seorang penganalisis mendakwa Anwar akan membentuk kerajaan baharu dengan kumpulan dalam Umno, namun disangkal ramai pemimpin politik.