Polis panggil 6 individu babit himpunan pesara tentera

Polis panggil 6 individu babit himpunan pesara tentera

Polis berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman.

Menurut polis, keenam-enam individu tersebut telah memberi keterangan semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Enam individu memberi keterangan kepada polis berhubung perhimpunan secara aman yang dilancarkan ratusan pesara tentera dari seluruh negara di Tugu Negara pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, keenam-enam individu yang dikenal pasti itu hadir semalam untuk memberi keterangan.

Tambahnya, polis sedang mengesan beberapa individu lain yang menyertai himpunan itu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman,” katanya kepada FMT.

Seksyen 9 akta itu mewajibkan penganjur memaklumkan kepada polis daerah terbabit sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.

Di bawah Seksyen 9(5), mereka yang gagal berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM10,000.

Semalam, kira-kira 500 pesara tentera berkumpul di Tugu Negara bagi menuntut semakan semula kadar pencen seperti yang diselaraskan sebelum 2013 serta hak untuk menerima pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun.

Pada masa ini, hanya anggota tentera yang berkhidmat selama 21 tahun mendapat pencen bulanan.

Para pesara tentera berkata, mereka tiada pilihan lain selain berhimpun secara aman selepas cubaan menyuarakan rungutan mereka mengenai isu itu menerusi saluran yang betul selama lapan tahun gagal.

Kumpulan itu mendakwa kira-kira 330,000 pesara tentera dilucutkan hak, dengan hampir 135,000 daripada mereka tidak layak menerima bayaran pencen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.