Perkenal e-panggilan motosikal, pakar beri cadangan atasi masalah kesesakan

Perkenal e-panggilan motosikal, pakar beri cadangan atasi masalah kesesakan

Menurut pakar pengangkutan, negara jiran sudah melaksanakan perkhidmatan itu tetapi Malaysia dilihat teragak-agak melaksanakannya.

Lembah Klang dilaporkan mengalami kesesakan teruk minggu lalu.
PETALING JAYA:
Susulan kesesakan lalu lintas yang dilaporkan semakin teruk di Lembah Klang minggu lalu, seorang perunding pengangkutan mencadangkan agar perkhidmatan e-panggilan motosikal dikaji semula.

Pakar pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata, negara jiran telah melaksanakan perkhidmatan e-panggilan motosikal tetapi negara ini dilihat teragak-agak untuk melakukan perkara sama.

“Perkhidmatan e-panggilan motosikal tidak dibenarkan di sini disebabkan isu keselamatan. Ia dilakukan dengan selamat di Indonesia dan Thailand tetapi saya tidak tahu mengapa ia tidak diperkenalkan di Malaysia,” katanya.

November lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Henry Sum Agong berkata, tiada rancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-panggilan motosikal di negara ini kerana kadar kematian jalan raya yang tinggi dalam kalangan penunggang motosikal.

Rosli berkata, penunggang boleh disaring sebelum diupah untuk perkhidmatan e-panggilan yang menyediakan perlindungan insurans untuk pembonceng dan menggunakan pengesan GPS untuk memantau motosikal yang digunakan.

Manakala pengasas perkhidmatan e-panggilan Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, perkhidmatan itu akan menarik minat mereka yang tidak mampu menaiki teksi atau perkhidmatan e-panggilan kereta.

Dego Ride mula diperkenalkan pada Julai 2015 tetapi dipaksa dihentikan susulan kebimbangan mengenai keselamatan di jalan raya. Ia kini menyediakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Nabil berkata, tinjauan tidak rasmi yang dijalankan pasukannya di stesen LRT menunjukkan penumpang memilih masa perjalanan yang lebih pantas dan kos lebih murah yang disediakan oleh perkhidmatan e-panggilan motosikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.