P Pinang tak batal Bon Odori, tiada elemen pemujaan, agama, kata Exco

P Pinang tak batal Bon Odori, tiada elemen pemujaan, agama, kata Exco

Sambutan itu tetap diteruskan sebagai meraikan hubungan antara Jepun dan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama.

Exco Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin, berkata pihaknya terkejut mendengar sambutan itu menjadi isu, namun terpulang kepada pengunjung sama ada mahu terbabit dalam Bon Odori. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Festival Bon Odori di Pulau Pinang yang dijadual berlangsung di Padang Kota Lama, pada 30 Jul, tetap diteruskan memandangkan tidak mengandungi elemen pemujaan atau upacara keagamaan tertentu, kata Exco negeri, Yeoh Soon Hin.

Pengerusi jawatankuasa pelancongan dan ekonomi kreatif negeri itu, berkata dalam konteks Pulau Pinang sambutan berkenaan tidak mengandungi kedua-dua elemen terbabit.

“Sambutan itu akan tetap diteruskan sebagai meraikan hubungan antara negara Jepun dan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama.

“Kami melihat sambutan Bon Odori yang dianjurkan di negeri ini memupuk semangat kekeluargaan selain merangsang ekonomi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad mengingatkan umat Islam supaya tidak menyertai sambutan Bon Odori berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mendapati program itu mempunyai unsur keagamaan.

Yeoh ketika mengulas lanjut, berkata program sambutan Bon Odori yang diadakan di Pulau Pinang sebelum Covid-19 mampu menarik lebih 10,000 pengunjung dengan pihaknya menjangka kehadiran semasa peralihan endemik melebihi 5,000 orang.

“Memang kami terkejut apabila mendengar perkara ini menjadi isu yang diperkatakan. Bagaimanapun, terpulang kepada pengunjung dan kami tidak menghalang sesiapa untuk datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.