Nabi Muhammad dihina, sikap berdiam diri kerajaan memalukan, kata Pemuda Pejuang

Nabi Muhammad dihina, sikap berdiam diri kerajaan memalukan, kata Pemuda Pejuang

Ketua pemudanya, Abu Hafiz Salleh Hudin, mengulas sikap berdiam diri kerajaan ketika negara Islam lain menerbitkan nota bantahan diplomasi susulan kenyataan ahli politik daripada parti pemerintah India, BJP.

Ketua Pemuda Pejuang Abu Hafiz Salleh Hudin mahu Wisma Putera dan kerajaan menggerakkan tindakan diplomatik terhadap India sebagai tanda kutukan keras berhubung kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah RA. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pemuda Pejuang menyifatkan ketiadaan respon rasmi kerajaan berhubung tindakan ahli politik daripada parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) menghina Islam, sebagai memalukan, kata ketuanya, Abu Hafiz Salleh Hudin.

Katanya, tindakan mereka yang mewakili BJP adalah perkara boleh dijangka dan bukanlah sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

“BJP yang menguasai parti pemerintah India dan dipimpin Perdana Menteri, Narendra Modi terkenal dengan beberapa polisi dan kenyataan berterusan yang dilihat sangat anti-Islam di peringkat Pusat dan Negeri.

“Negeri-negeri yang dikuasai BJP seperti di Karnataka yang diketuai Ketua Menteri dari BJP, Basavaraj Bommai telah bertindak mengharamkan pemakaian tudung oleh pelajar Muslimah di kampus dan bangunan pendidikan,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Pemuda Pejuang mendesak Wisma Putera dan kerajaan menggerakkan tindakan diplomatik sebagai tanda kutukan keras demi mempertahankan kesucian kedudukan Nabi Muhammad SAW.

“Ketiadaan sebarang respon rasmi dan segera dari kerajaan Malaysia setelah beberapa hari isu ini meletus di peringkat antarabangsa adalah sangat mendukacitakan dan memalukan,” katanya.

Katanya, negara seperti Qatar, Kuwait dan Iran telah menerbitkan nota bantahan diplomasi dan memanggil Duta India untuk mendapatkan penjelasan terhadap hal berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, kerajaan akan membincangkan tindakan bersesuaian berhubung isu menghina Islam yang dikeluarkan ahli parti daripada BJP itu.

Katanya, masyarakat Islam di negara ini perlu berpegang dengan prinsip dan ajaran agama itu yang melarang penganutnya daripada menghina dan menabur kebencian terhadap agama lain.

Idris berkata, umat Islam tidak perlu memberi sebarang reaksi terhadap perbuatan individu atau pihak yang cuba menghina agama itu.

“Kerana kita (umat Islam) lebih kepada soal (bertindak) dalam bentuk intelektual, wacana, muzakarah dan sebagainya. Tidak elok kalau kita bersikap demikian (menghina agama lain).

“Ia tidak sepatutnya berlaku pada mana-mana agama sekali pun,” katanya memetik laporan Bernama.

Idris berkata demikian bagi mengulas isu, baru-baru ini, mengenai dua jurucakap BJP mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah RA.

Perkara itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh negara, terutama di Asia Barat, yang mengutuk tindakan itu sehingga terdapat pusat beli-belah yang memunggah keluar produk India dari rak jualan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.