Lindungi kepentingan veteran ‘seperti yang BN lakukan’, kata Najib

Lindungi kepentingan veteran ‘seperti yang BN lakukan’, kata Najib

Bekas perdana menteri membidas Pakatan Harapan (PH) atas pemansuhan Bantuan Bakti Negara (BBN) semasa pemerintahannya.

Selepas perhimpunan aman oleh veteran tentera di Tugu Negara semalam, Najib Razak berkata, BN telah memastikan kepentingan mereka sebelum ia digantikan oleh kerajaan PH. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Najib Razak menyeru kerajaan dan menteri kewangan supaya menjaga kepentingan veteran tentera dengan berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telahpun berbuat demikian sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Ia susulan tindakan bekas timbalan setiausaha agung DAP, Nga Kor Ming memuat naikkan gambar ratusan orang berkumpul di Tugu Negara yang menyaksikan perhimpunan aman itu diadakan untuk menuntut skim pencen bekas tentera.

Kumpulan veteran itu melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dengan mendakwa ia tidak menjaga kebajikan tentera yang sudah bersara, tidak berpencen mahupun yang diberhentikan kerja.

Nga berkata, kerajaan perlu berhenti membazirkan wang dan sebaliknya menawarkan bantuan kepada bekas tentera tersebut.

Naji bagaimanapun, mengingatkan Nga bahawa Bantuan Bakti Negara (BBN) yang diberikan kepada veteran dimansuhkan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dengan alasan negara “sudah bankrap”.

“Kenapa pula tidak naikkan pencen dan kebajikan veteran tentera semasa PH memerintah?” katanya di Facebook.

Beliau juga berkata, dividen tahunan daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut menyusut nilai selepas PRU14 berbanding ketika beliau menjadi perdana menteri.

Sebaliknya beliau mengemukakan lima insentif yang dilaksanakannya bagi veteran angkatan tentera, termasuklah skim bantuan seperti BBN dan Skim Anuiti Veteran (SAVe).

Najib mendakwa veteran hanya mendengar mengenai kenaikan skim pencen pada zaman PH sedangkan mereka sebenarnya tidak melihat peningkatan kadarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.