Tunjuk bukti, jangan guna propaganda sahaja, kata Amirudin

Tunjuk bukti, jangan guna propaganda sahaja, kata Amirudin

Ketua PKR Selangor Amirudin Shari berkata keraguan berhubung keputusan pemilihan PKR perlu melalui Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menegaskan sebarang keraguan terhadap keputusan pemilihan PKR hanya dapat ditentukan menerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dakwaan keraguan terhadap keputusan Pemilihan PKR hanya dapat ditentukan menerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan bukannya dengan menyebarkan propaganda, kata Ketua PKR Selangor Amirudin Shari.

Katanya, ia termasuk dakwaan keraguan berhubung keputusan jawatan ketua bahagian Gombak ditandinginya, pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.

Amir menggesa pihak berkenaan menyerahkan keterangan yang menyokong dakwaan mereka kepada JPP untuk ditentusahkan, dan bukan menyebarkan propaganda.

“Ia harus dibuktikan dalam jawatankuasa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Amirudin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan kepada JPP PKR.

Akhir bulan lalu, calon ketua bahagian Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mendakwa terdapat keraguan terhadap keputusan pemilihan parti di cabang itu dan mahu audit forensik dilakukan.

Amirudin mendapat 1,858 undi menewaskan Farhash yang memperoleh 1,215 undi.

“Agak ‘surprised’ juga menang besar. Pada peringkat kebangsaan dan di Gombak. Dapat mandat yang selesa untuk meneruskan perjuangan parti. Ini menunjukkan kepercayaan orang Gombak lebih majoriti kepada saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.