
Bagaimanapun Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai festival tahunan itu yang disifatkan mengandungi unsur agama lain.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan berhubung dengan pihak kedutaan Jepun dan pengkaji bidang berkaitan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai penganjuran festival itu memandangkan pihaknya sebelum ini tidak menerima sebarang bantahan atau pandangan sejak ia diadakan 30 tahun lalu.
“Kita perasan informasi (larangan menyertai festival) itu datang beberapa hari lalu menerusi Wikipedia, malah sebelum ini, tidak timbul isu mengenai festival itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Semalam, Idris menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai festival Bon Odori di Shah Alam pada Sabtu depan kerana berdasarkan kajian yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati ia mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.
Aktiviti tersebut yang merupakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha mengandungi unsur pemujaan terhadap nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan dalam masa sama mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.