
Katanya, isu itu tidak sepatutnya dijadikan sindiran pemimpin politik kerana cadangan berkenaan bukan sesuatu yang tidak boleh dilaksanakan.
“Saya tak sebut pun orang yang tinggal di kondominium kena bela kerbau atau kena tanam sawi.
“Saya cuma sebut tak apalah kalau ada barangan yang kita tak boleh tanam macam gandum, tak apalah kita import, tapi barang-barang makan lain macam cili, sawi, bayam, kucai, petola, kacang panjang sayur-sayuran yang boleh ditanam sendiri oleh orang Perak tanamlah. Itu saja yang saya kempen,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata, perkara itu juga tidak harus dipolitikkan pembangkang kerana sebahagian rakyat termasuk di perkampungan sudah lama mempraktikkannya sejak dahulu lagi.
Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri akan meneruskan program ‘Kebun Kita’ iaitu pemberian kit tanaman kepada rakyat bagi mereka bercucuk tanam.
Menurutnya, pada tahun lalu Jabatan Pertanian Perak membelanjakan lebih RM3 juta bagi tujuan berkenaan.
Pada 31 Mei, Saarani dalam kenyataan menasihatkan rakyat di negeri itu menanam sendiri sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.