
Bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Mohamed Hashim Mohd Ali mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.
Seramai 18 individu menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri, termasuk Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Mazlan Yusoff, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Azmi Rohani.
Turut menerima PSM adalah Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Mohd Annuar Zaini, Panglima Tentera Udara Jeneral Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Lazim.
Selain itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia Low Kian Chuan, Presiden dan Pengarah Eksekutif Malayan Banking Berhad Abdul Farid Alias, Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Tajuddin Atan dan Pengarah Eksekutif United U-Li Corporation Berhad Lee Yoon Kong turut menerima anugerah sama.
Individu lain adalah Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad Che Khalib Mohamad Noh, Pengasas dan Pengarah Urusan TAG Marine Sdn Bhd Noormustafa Kamal Yahya, bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dan bekas Ketua Menteri Sabah Osu Sukam, bekas Menteri Kesihatan dan bekas Presiden MIC S Subramaniam, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta bekas Setiausaha Agung MCA Ong Ka Chuan, bekas Menteri Pendidikan Tinggi dan juga Pengerusi Felda Idris Jusoh serta bekas Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob.
Sementara itu, Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah adalah antara 23 penerima Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.
Penerima PJN lain ialah Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri Rostam Affendi Salleh, hakim Mahkamah Tinggi Kuching Azhahari Kamal Ramli, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Mohd Yusof, Duta Besar Malaysia ke Thailand Jojie Samuel, Timbalan Gabenor Bank Negara Chew Cheng Lian dan bekas pemain badminton negara Foo Kok Keong.
Tiga penerima darjah kebesaran Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran Datuk adalah Setiausaha Bahagian Pembangunan Jabatan Perdana Menteri Jazmanie Shafawi, Ketua Protokol di Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri Wan Zaidi Wan Abdullah dan Juruiring Yang di-Pertuan Agong ke-14 Laksamana Pertama Shahrum Shaim.
Seramai 48 individu menerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) termasuk Pengarah Bahagian Perancangan Kementerian Kesihatan Dr Rozita Halina Tun Hussein.
Bagi darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) pula, sebanyak 67 individu disenaraikan sebagai penerima, termasuk bekas Juruiring Perdana Menteri Nik Ezanee Mohd Faisal.
Penerima tunggal bagi Darjah Johan Setia Diraja (JSD) dikurniakan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman Muhammad Abdul Halim.
Seramai 183 individu dikurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN), termasuk Pengasas Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia Kuan Chee Heng, Exco Pergerakan Puteri Umno Naszriah Ngasri dan Penasihat Persatuan OKU Sentral Mohd Radzi Wahab.
Tahun ini juga menyaksikan seramai tujuh individu dianugerahkan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) dan 250 dikurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) termasuk Editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohamad Bakri Darus manakala 377 individu menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) serta 43 Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).