
Katanya, saman yang dibuat itu adalah saman peribadi antara guru dan bekas pelajar mereka dan adalah tidak wajar bagi peguam kerajaan bertindak untuk pihak persendirian.
Beliau berkata, peguam kanan persekutuan sepatutnya mengehadkan perwakilannya untuk entiti kerajaan sahaja.
“Saya terkejut membaca bahawa peguam kanan persekutuan membela guru lelaki yang membuat jenaka rogol di dalam kelas dan bekas guru besar sekolah selaku defendan dalam tuntutan balas yang difailkan oleh Ain Husniza.
“Bagaimanakah peguam kanan persekutuan boleh bertindak untuk membela mereka sedangkan guru dan bekas guru besar tersebut telah disaman dalam kapasiti peribadi mereka?
“Lebih-lebih lagi, Ain Husniza yang mula-mula disaman kerana dikatakan memfitnah guru yang membuat jenaka rogol di dalam kelas dan sekarang Ain terpaksa membela diri serta terpaksa membuat tuntutan balas terhadap guru tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Teresa berkata, semua yang Ain lakukan sebagai seorang kanak-kanak perempuan adalah secara sah menyatakan rasa tidak senang terhadap guru lelaki dewasanya yang memandang remeh isu jenaka rogol dan membiarkannya begitu sahaja.
Katanya, Ain tidak memulakan sebarang tindakan undang-undang walaupun dia berhak dan sebaliknya kini dia dan bapanya telah disaman oleh guru.
“Jelas sekali, ini adalah saman persendirian antara guru dan bekas pelajar mereka. Bagaimana seorang peguam kerajaan boleh bertindak untuk pihak persendirian, penjawat awam dan pesara awam?
“Peguam kanan persekutuan harus mengehadkan perwakilannya untuk entiti kerajaan sahaja, bukankah ini menjadi contoh buruk bagi peguam persekutuan untuk penjawat awam dan juga pesara awam dalam saman persendirian mereka?” soal Teresa.
Terdahulu, Ain dan bapanya membantah tindakan peguam kerajaan mewakili dua individu yang disaman dan saman balas atas kapasiti peribadi, yang disifatkan sebagai langsung tidak boleh diterima.
Ia susulan, peguam kanan persekutuan mempertahankan guru Ain dan bekas pengetua sekolah yang dinamakan sebagai defendan dalam samannya.
Dalam affidavit, Ain dan bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab, berkata adalah “tidak wajar” dan janggal bagi peguam kanan persekutuan mewakili defendan terbabit ketika kedua-duanya disaman atas kapasiti peribadi.
Kata mereka, sebelum peguam kerajaan ingin mewakili penjawat awam atas kapasiti peribadi, Pejabat Peguam Negara mestilah terlebih dulu mengeluarkan sijil membenarkan tindakan itu dilakukan, namun ia tidak dibuat dalam kes ini.
Katanya, tindakan peguam kanan persekutuan mewakili bekas guru besar adalah salah, memandangkan wanita itu bukan lagi penjawat awam ketika saman itu difailkan.
Peguam SN Nair, yang menghantar pernyataan bagi pihak Ain dan bapanya, mengesahkan afidavit difailkan di Mahkamah Sesyen Klang, baru-baru ini.