Tukang gunting rambut rayu tarik balik larangan ambilan pekerja asing

Tukang gunting rambut rayu tarik balik larangan ambilan pekerja asing

Menurut persatuan pemilik kedai gunting rambut, pembekuan ambilan sementara pekerja asing terhadap industri itu menjejaskan perniagaan.

Persatuan pemilik kedai gunting rambut berkata mereka tidak boleh mendapatkan pekerja tempatan untuk membuat pekerjaan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemilik kedai gunting rambut merayu kepada kerajaan untuk membenarkan mereka mengambil pekerja asing, seperti perniagaan lain.

Penolong Setiausaha Persatuan Pemilik Gaya Rambut Salun India Malaysia (Mindas), M Meenaq Kumar berkata pembekuan ambilan sementara pekerja asing terhadap industri itu menjejaskan perniagaan.

Katanya, mereka masih belum menerima jawapan yang memuaskan daripada kerajaan berhubung keputusan itu.

“Pegawai tertentu memberitahu kami untuk mengambil pekerja tempatan sebaliknya, tetapi kami sudah cuba dan ia mustahil,” tambahnya.

Katanya, warga tempatan kurang minat dengan kraf itu, dan mereka yang menamatkan kursus gunting rambut cenderung membuka kedai sendiri berbanding bekerja dengan orang lain.

“Kami sudah cuba ambil inisiatif untuk bawa masuk tukang gunting tempatan melalui persatuan dan usaha sama dengan pihak lain, tetapi isunya, sambutan daripada warga tempatan tidak begitu baik.”

Dengan sekurang-kurangnya 1,600 kekosongan dalam kalangan ahli Mindas, ia dilihat mustahil untuk memenuhi permintaan dengan segera kerana kraf gunting rambut memerlukan pekerja mahir yang dilatih oleh profesional bertauliah.

“Tiada akademi atau individu yang boleh melahirkan 1,600 pekerja mahir sekali gus. Kami tidak meminta pekerja biasa. Ia adalah kerja mahir.”

Kumaran Gunasegaran, yang memiliki 10 kedai gunting rambut di Lembah Klang, memberitahu FMT bahawa banyak perniagaannya sedang menunggu pekerja asing dibenarkan masuk semula tetapi terkejut dengan pengecualian kerajaan dalam ambilan pekerja asing.

“Banyak kedai di sini sudah ditutup. Dulu ada lima kedai gunting rambut sekitar kawasan saya. Sekarang hanya tinggal dua atau tiga,” katanya.

Beliau juga berkata banyak percubaan untuk menggaji warga tempatan, namun hasilnya gagal kerana ramai yang tidak muncul selepas sehari bekerja tanpa memberi sebarang notis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.