Tengok sini, tak ada tarikh luput, kata Annuar berhubung MoU PH

Tengok sini, tak ada tarikh luput, kata Annuar berhubung MoU PH

Annuar Musa berkata tarikh 31 Jul bukannya tarikh luput perjanjian, sebaliknya merujuk kepada tempoh berkaitan pembubaran Parlimen sahaja.

Menteri Kabinet Annuar Musa, memuat naik memorandum persefahaman (MoU) yang menyatakan tarikh 31 Jul bukanlah tarikh luput perjanjian berkenaan seperti didakwa.
PETALING JAYA:
Menteri Kabinet Annuar Musa, yang menjadi wakil kerajaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH), memuat naik salinan dokumen memaparkan tiada “tarikh luput” berhubung perjanjian itu.

Sebelum ini, ramai pemimpin Umno mendesak pelaksanaan pilihan raya umum lebih awal. Mereka menyatakan, tiada sebab bagi penangguhan pilihan raya, selain mendakwa MoU terbabit akan tamat, pada 31 Jul.

Bagaimanapun, Annuar menyatakan kandungan MoU itu tidak mempunyai tarikh luput.

Katanya, tarikh 31 Jul dalam perjanjian berkenaan berkaitan pembubaran Parlimen sahaja.

“Bagi yang suka menulis tapi malas membaca atau menyelidik,atau yang mungkin sengaja mahu mengelirukan fakta, saya ‘post’ di sini dokumen rasmi/salinan MoU antara kerajaan dan PH,” katanya di Facebook, hari ini.

Perkara 2 menyatakan perjanjian berkuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen, manakala Perkara 3 menyatakan kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Jul ini.

“Sila teliti perkara 2 dan perkara 3 MoU berkenaan. Saya adalah salah seorang yang mewakili kerajaan menandatangani MoU berkenaan.”

Merujuk kepada pengkritiknya, Annuar berkata, kritikan perlu dibuat berdasarkan fakta dan bukan atas dasar kebencian.

“…atau sememangnya kita berbuat sesuatu nak tunjuk kelebihan kita, tapi sebenarnya kita hanya memperagakan kelemahan kita sendiri,” katanya.

Annuar yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) merupakan menteri komunikasi dan multimedia dalam pentadbiran Ismail, yang merangkumi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Bersatu dan PAS.

Pentadbiran Ismail membabitkan sokongan BN dengan 42 kerusi; Perikatan Nasional (51), GPS (18), PBM (2), PBS (1) and tiga Bebas. Pembangkang pula membabitkan PH (88); Warisan (8), Pejuang (4), PSB (1) dan Muda (1).

Awal hari ini, Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil, berkata MKT Umno sudah memutuskan untuk tidak menyokong pelanjutan perjanjian politik dalam bentuk MoU selepas 31 Jul, dengan perdana menteri sebelum ini menyatakan kerajaan akan turut mengambil keputusan sama.

Pada Rabu, Ismail berjanji tidak akan menangguhkan PRU15 sebaik sahaja BN bersedia.

Tambahnya, beliau akan berbincang dengan pucuk pimpinan Umno dan pemimpin gabungan itu mengenai tarikh pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.