Speaker jangan jadi ‘ejen’ Eksekutif, kata Mohamad Ariff

Speaker jangan jadi ‘ejen’ Eksekutif, kata Mohamad Ariff

Mohamad Ariff Md Yusof menjelaskan kerajaan baharu selepas Langkah Sheraton tidak senang dengan caranya yang bebas, berbanding speaker sebelum ini.

Antara agenda reformasi Parlimen sudah disusun termasuk mewajibkan perdana menteri menjawab soalan tertentu, namun langkah itu terhenti selepas Langkah Sheraton, kata bekas Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.
PETALING JAYA:
Speaker tidak sepatutnya menjadi ejen selain perlu bebas daripada kawalan badan Eksekutif sejajar konsep pengasingan kuasa, kata bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Ariff yang memegang jawatan berkenaan antara Jul 2018 hingga Jul 2020, berkata sejak merdeka, konsep diguna pakai di negara ini berdasarkan prinsip demokrasi Berperlembagaan yang mengasingkan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

“Berdasarkan pengasingan kuasa, kita mempunyai cabang yang saksama…tanpa Legislatif tak akan ada Eksekutif, dan Legislatif diperlukan untuk membentuk Eksekutif. Kerana kerajaan tidak lahir begitu sahaja, ia wujud daripada Ahli-ahli Parlimen terpilih, ketua parti atau gabungan parti.

“Dalam realiti, kita harus mencantumkannya dengan proses politik. Tetapi, ia harus berlaku dalam suasana kerjasama (cooperative), bukan dengan cara berperang (combative). Kerajaan dan Legislatif harus saling hormat-menghormati,” katanya menurut laporan Awani.

Ketika ini, jawatan speaker Dewan Rakyat disandang Azhar Harun, sejak tercetusnya Langkah Sheraton.

Bercakap mengenai perjalanan Parlimen di bawah kelolaannya, beliau berkata, masih banyak perkara perlu dilakukan bagi memastikan ia lebih berkesan di masa akan datang.

Ariff berkata, banyak agenda reformasi yang telah disusun, seperti mewajibkan perdana menteri menjawab soalan dalam sesi tertentu, merakyatkan Parlimen, mewujudkan hubungan antara badan bukan kerajaan (NGO) dengan Ahli Parlimen.

Selain itu, katanya, beliau juga berjaya mewujudkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen, namun mengakui, sebahagian besar agenda reformasi Parlimen itu terhenti akibat Langkah Sheraton yang menyaksikan pertukaran kerajaan selepas 22 bulan Pakatan Harapan memerintah.

“Apabila Langkah Sheraton terjadi, sudah semestinya saya berasa agak kecewa, banyak perkara terjejas apabila kerajaan bertukar. Sedangkan agenda reformasi Parlimen ketika itu sudah berjalan dengan baik.

“Jadi apabila kerajaan bertukar, saya berkata saya tidak akan berhenti daripada menjadi Speaker. Namun, jika mereka ingin saya berhenti, maka ia harus dilakukan dengan mengikut aturan dalam Parlimen,” katanya.

Ariff berkata, beliau dimaklumkan kerajaan baharu tidak begitu senang dengan cara beliau melakukan tugas sebagai Speaker, yang pada pandangan mereka agak bebas berbanding Speaker sebelum ini.

Mengulas lanjut, anak Kedah berkelulusan undang-undang dari London School of Economics itu, berkata berharap dapat melihat lebih ramai Ahli Parlimen yang lebih muda, kerana mereka lebih bersikap egalitarian, iaitu mempercayai prinsip kesaksamaan untuk semua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.