
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norazlan Mohd Razali, berkata kursus itu akan menjadi subjek yang sistematik dan berstruktur untuk pemahaman pelajar mengenai rasuah.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan membolehkan pelajar lebih peka dengan kesan rasuah yang bukan sahaja menjejaskan diri mereka tetapi juga negara.
“Belia yang sudah bekerja dikhuatiri tergoda dengan rasuah. Kursus ini juga memberikan pendedahan kepada penuntut supaya mereka tidak meminta rasuah dan tidak memberikan rasuah kepada mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah, di Universiti Malaya, di sini hari ini.
Terdahulu, Norazlan mendedahkan, seramai 275 belia di bawah usia 30 tahun dicekup SPRM, sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Katanya, data berkenaan adalah bagi tempoh antara 2020 hingga 3 Jun 2022 dengan ada yang ditahan merupakan graduan universiti, termasuk kakitangan kerajaan.
“Untuk tempoh itu juga, seramai 254 belia berusia antara 24 tahun hingga 30 tahun turut ditangkap atas kesalahan rasuah. Keseluruhannya membabitkan 231 lelaki dan 44 wanita,” katanya.
Norazlan berkata, SPRM sentiasa menggalakkan kerjasama daripada pemimpin mahasiswa untuk membantu suruhanjaya itu menyebarluaskan mesej dan panduan antirasuah melalui inisiatif pendidikan antirasuah yang boleh dirangka dan dilaksanakan melalui bimbingan agensi itu.