
Aliff atau lebih dikenali dengan nama Aliff Ahmad memberitahu FMT mengenai onak dan duri dilaluinya bersama rakan aktivis, Mona Din dalam kesungguhan memastikan nasib remaja itu terbela.
“Saya guna ‘page Facebook’ saya, SCRUT dan akaun Aliff Ahmad III, yang ada ramai pengikut untuk mendedahkan kisah adik Bella yang disyaki didera. Selepas tular, barulah ramai ‘influencer’ lain masuk dan ramai-ramai (kami) sebarkan kes ini.
“Hasilnya, ramai lagi orang yang muncul untuk menceritakan kepada kak Mona dan pengalaman yang mereka masing-masing lalui,” katanya yang juga pengasas bersama IFMAL.com dan SCRUT, selain turut mengasaskan syarikat pemula kewangan – IDSB.my dan syarikat pengurusan dana – Aire Capital Asset Management (L) LTD.
Aliff, 36, lega usahanya itu mendapat perhatian banyak pihak.
Perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur setakat ini mendengar keterangan saksi pendakwaan yang antara lain mendakwa Bella mengalami beberapa peristiwa kekejaman.

Pada 25 Nov lalu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja terbabit sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi antara Februari dan Jun 2021.
Aliff tidak mahu mengulas perbicaraan yang sedang berlangsung di mahkamah, tetapi bersyukur usahanya itu berjaya sehingga mendapat perhatian keluarga diraja.
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) perbicaraan kes untuk keluarga Bella, sementara di luar mahkamah pula, isteri TMJ mengambil berat mengenai kebajikan Bella sendiri.
“Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, yang nampak hantaran viral adik Bella, pula kata dia akan gunakan kuasa yang ada untuk bantu adik Bella,” kata Aliff dengan nada gembira.
“Impak dia besar. Saya tengok baginda (Che’ Puan Besar) sangat serius. Kak Mona ada beritahu Bella suka kolam renang, suka kartun Frozen.
“Baginda bawa dia pergi Legoland, bawa pergi mandi di kolam renang dan adakan majlis untuk dia dengan tema Frozen,” katanya.
Aliff berkata, hakikat bahawa Bella amat istimewa dan ini terserlah kepada sesiapa sahaja yang mendekati remaja itu.
“Mungkin (kerana) doa Bella, tiba-tiba orang macam saya, kak Mona, kak Zurianty Sudin (individu yang merakam video Bella yang tular) dan TMJ datang membantunya,” kata Aliff.