Annuar seolah-olah ulangi DAP, kata pemimpin BN

Annuar seolah-olah ulangi DAP, kata pemimpin BN

Annuar Musa mesti mematuhi sebarang keputusan yang dibuat Umno, bukannya mengikut kehendak hatinya sendiri, kata Isham Jalil.

Isham Jalil berkata, Annuar Musa mesti mematuhi keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk tidak melanjutkan MoU melebihi 31 Julai.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) mempersoalkan mengapa Annuar Musa kelihatan seolah-olah mengulangi DAP dalam komennya mengenai persefahaman politik antara kerajaan Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata, Majlis Kerja Tertinggi Umno sudah memutuskan untuk tidak menyokong pelanjutan perjanjian politik dalam bentuk memorandum persefahaman (MoU) selepas 31 Julai, dengan perdana menteri sebelum ini menyatakan kerajaan akan turut mengambil keputusan sama.

“Annuar bukan ahli Majlis Kerja Tertinggi dan mesti mematuhi sebarang keputusan yang dibuat. Beliau tak sepatutnya ikut kehendak hatinya sendiri,” kata Isham.

“Bagaimanapun, kata-katanya nampaknya seperti mengulangi komen pemimpin PH seperti Loke Siew Fook daripada DAP.”

Terdahulu, Annuar berkata, tiada tarikh tamat bagi MoU antara kerajaan dan PH, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebelum 31 Julai ini.

Loke, yang juga setiausaha agung DAP, sebelum ini berkata, 31 Julai tidak boleh dianggap sebagai tarikh akhir kerana kerajaan boleh mengambil masa tambahan untuk melaksanakan pembaharuan yang dipersetujui dalam MoU itu.

Isham berkata, Annuar adalah antara anggota BN yang tidak mahu pilihan raya umum akan datang (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Annuar, yang juga menteri komunikasi dan multimedia, mesti mengutamakan kepentingan rakyat dan Umno berbanding berpaut pada jawatan menterinya, kata Isham.

Tambahnya, pilihan raya awal akan menamatkan ketidakstabilan politik dan memulihkan ekonomi.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata, tarikh MoU tamat tidak penting. Apa yang dipentingkan parti itu, katanya, adalah tarikh PRU15 diadakan.

Pada Rabu, Ismail berjanji tidak akan menangguhkan PRU15 sebaik sahaja BN bersedia
.
Tambahnya, beliau akan berbincang dengan pucuk pimpinan Umno dan pemimpin gabungan itu mengenai tarikh pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.