Segera salur peruntukan tambahan tangani kesesakan kaunter JPJ, gesa pemimpin DAP

Segera salur peruntukan tambahan tangani kesesakan kaunter JPJ, gesa pemimpin DAP

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata kaunter perkhidmatan agensi itu khususnya di Lembah Klang dilaporkan masih sesak meski sistem dalam talian diguna pakai.

Jabatan Pengangkutan Jalan mengutip hasil tinggi setiap tahun dan di Kuala Lumpur sahaja, ia mengutip hasil sehingga RM450 juta setahun, menurut seorang ahli Parlimen. (Gambar DAP)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP mendesak Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong segera menyalurkan peruntukan tambahan untuk menaik taraf perkhidmatan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, ini khususnya di Lembah Klang yang dilaporkan masih sesak dipenuhi orang ramai, walaupun agensi itu melaksanakan sistem memperbaharui cukai jalan dalam talian.

Katanya, JPJ, iaitu agensi di bawah Kementerian Pengangkutan mengutip hasil tinggi setiap tahun dan di Kuala Lumpur sahaja, ia mengutip hasil sehingga RM450 juta setahun.

Yeoh berkata, hasil itu boleh diguna untuk menambah kemudahan, membuka lebih banyak kaunter dan pejabat cawangan di sekitar Lembah Klang bagi menampung peningkatan jumlah pengguna.

“Saya sendiri telah melawat cawangan Bandar Menjalara di Segambut dan melihat sendiri barisan menunggu yang terlalu panjang sehingga ke lorong belakang.

“Menteri pengangkutan digesa menambah baik sistem sokongan bagi memastikan perkhidmatan dalam talian berjalan dengan efektif dan menyeluruh seperti memperuntukkan kemudahan terkini yang boleh membantu meningkatkan kecekapan perkhidmatan JPJ,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, antara masalah yang kerap mengganggu urusan kaunter JPJ adalah mesin percetakan kerap rosak untuk mencetak lesen memandu dan jaringan internet yang lemah serta tidak stabil.

“Ini menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang berjam-jam bagi menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan di kaunter yang berkurangan akibat gangguan yang disebut.

“Saya menuntut kesungguhan menteri pengangkutan untuk melakukan perubahan ini dengan segera jika beliau benar-benar prihatin kepada masalah pengguna dan pegawai yang bertugas di pejabat cawangan JPJ,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.