
Ragunath Kesavan berkata, ia adalah aturan pentadbiran ketika kedua-dua Abdul Kadir Yusuf (1963-1977) dan Hamzah Abu Samah (1977-1980) menjadi peguam negara dan juga anggota Kabinet.
“Kedua-duanya yang mempunyai latar belakang undang-undang menurunkan kuasa pendakwaan kepada peguam cara negara dan mengehadkan tugas mereka untuk memberi khidmat nasihat kepada kerajaan,” katanya.
Memberi contoh lain, Ragunath berkata, ketika Salleh Abas merupakan peguam cara negara antara 1966 dan 1970, beliau menumpukan kepada urusan pendakwaan seperti merangka dan menarik balik pertuduhan dan mengendalikan rayuan.
Beliau berkata, selepas 1980, barulah peguam negara secara aktif mengambil peranan sebagai pendakwa raya seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Pada waktu sekarang, seseorang tidak boleh mengharapkan peguam negara menjadi pendakwa raya yang aktif kerana jumlah kes di mahkamah. Sebaik-baiknya dia mewakilkannya kepada peguam cara negara,” katanya.
Ragunath berkata, fungsi dan peranan peguam negara dan pendakwa raya boleh dipisahkan secara rasmi apabila Perlembagaan dan undang-undang persekutuan lain dipinda.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa cadangan undang-undang yang memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya tidak mungkin digubal sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) jika ia diadakan tahun ini.
Wan Junaidi berkata, ini kerana sesi libat urus dengan pihak berkepentingan berhubung cadangan undang-undang itu masih belum diadakan.
Bekas presiden Majlis Peguam, George Varughese berkata, ia tidak perlu dilewatkan kerana perbincangan dan perbahasan telah diadakan mengenai cadangan itu sebelum ini.
“Tiada halangan dan pada fikiran saya, dua pertiga ahli Parlimen akan menyokong pindaan Perlembagaan supaya individu berasingan dilantik sebagai peguam negara dan ketua perkhidmatan pendakwaan,” katanya.
Pada 2018, Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk memisahkan tanggungjawab peguam negara dan pendakwa raya dan kemudiannya menubuhkan jawatankuasa pembaharuan institusi lima anggota yang dipengerusikan oleh hakim bersara KC Vohrah, yang telah meninggal dunia.