
Pengerusinya, Zaliha Mustafa berkata tidak semua dalam kalangan 147,000 pengundi mengambil keputusan untuk mengundi di peringkat pusat.
“Dia bukan hilang tapi orang ambil keputusan untuk tidak mengundi di peringkat pusat.
“Ramai pengundi yang ambil keputusan untuk undi di bahagian sahaja dan ada kalangan mereka ambil keputusan untuk tidak undi pusat, pun ada macam tu,” katanya kepada FMT.
Semalam, bekas pembantu presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mempertikai percanggahan dalam pemilihan PKR baru-baru ini dengan mendakwa ada undi yang “hilang” khususnya bagi jawatan timbalan presiden.
Farhash berkata, seramai 147,000 ahli PKR dilaporkan mengambil bahagian dalam pemilihan parti itu.
Bagaimanapun katanya, Rafizi Ramli memperoleh 68,992 undi, manakala Saifuddin Nasution Ismail mendapat 50,038 undi, bererti jumlahnya cuma 119,030 undi.
“Ini saja menimbulkan persoalan apa yang terjadi dengan kira-kira 27,970 undian selebihnya. Sekalipun dihitung dengan undi rosak di seluruh negara, lebih 26,000 undian masih hilang,” kata Farhash.