Suspek pengedar dadah rempuh kenderaan polis direman 7 hari

Suspek pengedar dadah rempuh kenderaan polis direman 7 hari

Isteri suspek berumur 38 tahun turut direman bagi tempoh sama manakala anak lelaki pasangan itu yang berusia dua tahun akan diserah kepada waris terdekat.

Dalam kejadian semalam, suspek yang cuba melarikan diri dengan merempuh kereta polis berjaya ditahan kira-kira 800m dari lokasi rempuhan.
IPOH:
Seorang lelaki berusia 61 tahun dipercayai pengedar dadah yang bertindak agresif merempuh kenderaan polis dalam insiden di Ayer Tawar, Lumut semalam direman selama tujuh hari hingga Rabu depan.

Ketua Polis Manjung, Nor Omar Sappi berkata, isteri suspek yang berumur 38 tahun turut direman bagi tempoh sama manakala anak lelaki pasangan itu yang berusia dua tahun akan diserah kepada waris terdekat hari ini.

“Pasangan itu turut didapati positif dadah jenis metamfetamina hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas mereka,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta dipandu suspek dalam insiden 4 petang semasa sepasukan anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah.

Beliau berkata, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak merempuh bahagian depan kereta polis sebelum memecut kenderaannya menyebabkan anggota pasukan keselamatan itu terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira 800m dari lokasi rempuhan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta lelaki itu menemukan 33 paket dadah jenis syabu seberat 62.5g.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.