Mahkamah batal perintah pengusiran Momoh

Mahkamah batal perintah pengusiran Momoh

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ketua pengarah imigresen hanya boleh membatalkan pas warga asing kerana melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen.

Simon Adavize Momoh (dua dari kiri) dan isterinya, Low Kar Hui, bersama peguam V Vemal Arasan dan Gurdial Singh Nijar selepas keputusan mahkamah hari ini.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh seorang warga Nigeria terhadap ketua pengarah imigresen kerana membatalkan pas lawatan sosialnya.

Hakim Shahnaz Sulaiman berkata, ketua pengarah imigresen tidak boleh membatalkan pas Simon Adavize Momoh kerana melakukan kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan, iaitu memandu bawah pengaruh alkohol.

Shahnaz juga mengeluarkan perintah berbangkit bahawa Momoh, yang berkahwin dengan rakyat Malaysia, tidak boleh diusir kerana masih mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“(Ketua pengarah imigresen) boleh membatalkan pas itu jika seseorang warga asing melakukan kesalahan bawah Seksyen 56 Akta Imigresen,” katanya.

Jabatan Imigresen sebelum ini berkata, ia membatalkan pas sosial Momoh kerana lelaki berusia 34 tahun itu disabitkan kesalahan dan dihukum penjara sehari selain denda RM12,000 kerana memandu bawah pengaruh alkohol.

Momoh menjalani hukuman penjara dan membayar denda.

Shahnaz berkata, ketua pengarah imigresen bertindak melampaui kuasanya dan  salah di sisi undang-undang baginya untuk membatalkan pas Momoh yang akan tamat tempoh akhir tahun ini.

“Terdapat merit dalam permohonan itu dan arahan (ketua pengarah imigresen) untuk membatalkan pas itu dibatalkan,” katanya.

Momoh yang gembira dengan keputusan itu mengucapkan terima kasih kepada isterinya, Low Kar Hui, para penyokong dan masyarakat awam kerana menyokongnya sepanjang tempoh mencabar tahun lepas.

“Syukur, keadilan telah ditegakkan. Saya dan isteri tak pernah sangka akan lalui perkara seperti ini,” katanya.

Shahnaz tidak memerintahkan kos kerana ia adalah litigasi kepentingan awam.

Dalam keputusan lisannya, beliau berkata Momoh juga tidak dihadapkan ke majistret dalam tempoh 14 hari selepas ditangkap kerana memandu bawah pengaruh alkohol.

“Ini melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya, merujuk kepada peruntukan yang menyatakan bahawa tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.

Momoh diwakili peguam Gurdial Singh Nijar, V Vemal Arasan, James Joshua Paulraj dan Abraham Au.

Warga Nigeria itu memfailkan permohonan semakan kehakiman pada April tahun lepas terhadap ketua pengarah imigresen dan kerajaan kerana membatalkan pasnya dan mengarahkan pengusirannya.

Sejak itu, pas khas dikeluarkan untuknya, yang perlu diperbaharui setiap bulan agar dia dapat menetap bersama keluarganya di sini.

Dia dibebaskan pada 23 April tahun lepas selepas ditahan selama 40 hari di depoh imigresen Semenyih selepas pada mulanya ditahan di sekatan jalan raya di Cheras pada Mac kerana memandu bawah pengaruh alkohol.

Dia dibebaskan berikutan perbicaraan habeas corpus, dengan hakim Ab Karim Ab Rahman memutuskan bahawa penahanannya tidak menepati perlembagaan dan melanggar prosedur.

Perintah pengusiran Momoh dihantar oleh Jabatan Imigresen melalui e-mel kepada isteri Momoh, Low pada 14 April. Jabatan itu memintanya untuk mengatur penerbangan bagi Momoh untuk pulang ke Nigeria.

Menurut perintah itu, Momoh dianggap sebagai pendatang terlarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.