Pelajar dipukul kerana enggan sertai kongsi gelap

Pelajar dipukul kerana enggan sertai kongsi gelap

Kejadian berlaku di depan sekolah ketika pelajar berusia 15 tahun itu didatangi enam suspek mengajaknya menyertai kumpulan kongsi gelap.

Polis berkata mangsa cedera di bibir, pipi dan dahi akibat dipukul remaja berusia antara 17 hingga 18 tahun.
PETALING JAYA:
Seorang pelajar lelaki Tingkatan 3 sebuah sekolah menengah di Iskandar Puteri, Johor, cedera selepas dipukul kerana menolak pelawaan sekumpulan remaja untuk menyertai kumpulan kongsi gelap, kelmarin.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata kejadian berlaku pada 2 petang di depan sekolah mangsa selepas enam suspek tidak dikenali mendekatinya.

“Siasatan awal mendapati, mangsa didatangi enam suspek berusia 17 hingga 18 tahun mengajaknya menyertai kumpulan kongsi gelap.

“Mangsa menolak pelawaan itu menyebabkan dia dipukul sekumpulan remaja berkenaan sehingga cedera di bibir, pipi dan dahi,” katanya dalam kenyataan.

Rahmat berkata, susulan itu polis menahan seorang suspek berusia 18 tahun, kira-kira 12.15 tengah malam tadi di kediamannya di Iskandar Puteri.

Katanya, suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu bersama rakan lain.

“Polis meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian tampil memberi keterangan berkaitan kes pukul tersebut. Kita tidak akan berkompromi dengan perilaku jenayah yang melibatkan pelajar sekolah. Kes disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.