Pekerja pembersihan minta diserap dalam JPA, tuntut manfaat seperti kakitangan awam

Pekerja pembersihan minta diserap dalam JPA, tuntut manfaat seperti kakitangan awam

Ia bagi menamatkan sebarang penindasan atau layanan tidak adil pihak konsesi swasta lantikan kerajaan terhadap pekerja kontrak.

Pekerja pembersihan di premis kerajaan perlu mendapat layanan sama rata seperti kakitangan awam lain kerana kumpulan itu adalah perkhidmatan asas, kata wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan, M Sivaranjani. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Pekerja Pembersihan meminta Putrajaya mempertimbangkan untuk menyerap golongan pekerja itu ke dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan kebajikan mereka lebih terbela.

Menurut wakilnya Chong Yee Shan, dasar penswastaan perkhidmatan sokongan pembersihan yang diamalkan kini menyebabkan ramai pekerja sektor itu ditindas, termasuk tidak menikmati gaji minimum RM1,500 dan tiada manfaat seperti perubatan serta cuti tahunan.

Pada masa sama katanya, langkah itu juga membolehkan kerajaan menghentikan ketirisan disebabkan terdapat syarikat konsesi utama “menjual” kontrak pembersihan kepada kontraktor lain bagi mendapat keuntungan segera.

“Syarikat kedua sub pula jual kepada kontraktor kecil, jadi ada tiga lapisan duit itu dipotong … peringkat keempat barulah sampai ke poket pekerja,” katanya pada sidang media hari ini.

“Kerajaan kata penswastaan boleh tingkat kecekapan tetapi yang berlaku sebaliknya, apabila wujud eksploitasi dengan dasar itu hanya menguntungkan syarikat bukan pekerja.”

Sementara itu, wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan, M Sivaranjani berkata, pekerja pembersihan di premis kerajaan perlu mendapat layanan sama rata seperti kakitangan awam lain kerana kumpulan itu adalah perkhidmatan asas.

“Kerja-kerja seperti pengawal keselamatan, pembersihan bukan bermusim tetapi bersifat tetap. Mereka diperlukan sepanjang tempoh premis kerajaan wujud.

“Apa keperluan untuk kerajaan menyumber luar perkhidmatan yang sangat asas, sangat diperlukan ini kepada kontraktor swasta. Hari ini kita lihat pelbagai masalah apabila sistem kontrak yang dicipta oleh kerajaan itu sendiri menindas pekerja bawahan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pekerja pembersihan sekolah di Tanjung Karang, Mawar Shaabani berkata, majikannya sehingga kini gagal melaksanakan gaji minimum RM1,500 atas alasan konsesi bahawa terdapat peningkatan kos operasi yang perlu ditanggung.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 20 tahun di sekolah menengah itu juga tidak pernah merasai kenaikan gaji apabila kontrak syarikat pembersihan bertukar tangan setiap tiga tahun dan mereka akan dianggap sebagai pekerja baharu oleh syarikat yang baharu dilantik.

“Sepanjang saya bekerja, kami hanya makan gaji asas iaitu RM1,100 dan selepas tolak caruman KWSP hanya tinggal RM973 setiap bulan.

“Malah kami juga dinafikan hak untuk mendapat cuti tahunan malah perlu mencari orang lain sebagai pengganti jika cuti sakit atau bercuti,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuatkuasa 1 Mei dan diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan warta itu, bagi pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang perlu dibayar kepada mereka berkuat kuasa mulai 1 Mei hendaklah tidak kurang daripada RM1,500.

Arahan itu terpakai kepada majikan yang mempunyai lima pekerja atau lebih berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2022 mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.