
SN Nair berkata, tindakan itu perlu dilakukan secepat mungkin kerana koroner yang melakukan inkues kematian berkenaan mendapati berlaku salah guna kuasa dan elemen jenayah melibatkan polis.
“Peguam negara yang juga pendakwa raya mesti bertindak cepat bagi pihak kerajaan,” katanya kepada FMT.
Pada Selasa, Koroner Rasyihah Ghazali mendapati S Mahendran, G Thavaselvan dan iparnya, warga Sri Lanka J Vijayaratnam, mati akibat tembakan pada kepala dan dada mereka.
“Tembakan tidak dilepaskan sebagai tindakan mempertahankan diri. Wujud elemen penyalahgunaan kuasa dan jenayah oleh polis dalam kematian lelaki berkenaan,” katanya.
Nair yang juga bekas polis berkata, siasatan bebas perlu dilakukan kali ini memandangkan polis dari ibu pejabat kontinjen Selangor dan daerah Gombak dikaitkan dengan kejadian berkenaan.
“Lebih baik jika Bukit Aman melakukan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan,” katanya.
Peguam M Visvanathan yang bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga Thavaselvan dan Vijayaratnam berkata beliau telah diarahkan memfailkan saman sivil.
Pada 14 Sept 2019, tiga lelaki terbabit yang menurut polis disyaki terlibat dalam kejadian rompakan bersenjata, terbunuh susulan tembak-menembak dengan polis di KM22 Jalan Rawang menuju Batu Arang, selepas dikejar sejauh 7km.
Polis mendakwa berlaku tembak-menembak dengan suspek, dengan dua daripada lelaki berkenaan bersenjatakan pistol.
Rasyihah dalam keputusannya berkata, bukti saintifik berkaitan kedudukan mayat dan senjata didakwa ditemui pada dua lelaki itu tidak selaras dengan keterangan lisan anggota polis terlibat.