Henti beli ubat secara panik, MMA nasihat orang ramai

Henti beli ubat secara panik, MMA nasihat orang ramai

Pembelian panik itu berlaku sejak negara mula keluar dari perintah sekatan penuh akibat Covid-19 dan meneruskan semula aktiviti ekonomi, kata MMA.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, pengeluar tempatan mempunyai kapasiti terhad untuk meningkatkan pengeluaran ubat-ubatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli ubat-ubatan secara panik susulan kekurangan produk tertentu di pasaran baru-baru ini.

Katanya, pembelian panik itu berlaku sejak negara mula keluar daripada perintah sekatan penuh akibat Covid-19 dan meneruskan semula aktiviti ekonomi.

MMA berkata, ia berharap permintaan dan bekalan berkaitan ubat-ubatan seumpama itu dapat diperbetul dalam pasaran.

Selain aktiviti ekonomi yang diteruskan semula selepas sekatan penuh, Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, permintaan bagi ubat-ubatan biasa yang “belum pernah berlaku sebelum ini” disebabkan kadar insiden tinggi varian Omicron mengejutkan pengeluar dan pengedar farmaseutikal.

Dr Koh Kar Chai.

“Jika tidak diperbetulkan, bekalan ubat-ubatan lain yang sebelum ini tidak terjejas akan terganggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membeli secara panik dan menyimpan ubat-ubatan yang tidak diperlukan segera bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.”

Koh berkata, industri farmaseutikal bertindak balas terhadap lonjakan permintaan dengan membuat tempahan lebih tinggi untuk produk daripada pengeluar luar negara.

Menurutnya, pengeluar tempatan berlumba-lumba untuk meningkatkan kapasiti pembuatan mereka yang bagaimanapun bergantung kepada bahan mentah yang diperoleh dari negara lain.

Katanya, memandangkan kekurangan itu adalah masalah di seluruh dunia, import untuk kedua-dua produk siap dan bahan mentah turut terjejas.

Beliau berkata, pengeluar tempatan mempunyai kapasiti terhad untuk meningkatkan pengeluaran dan mereka “tidak boleh meningkatkan pengeluaran hanya untuk mengatasi kekurangan bekalan di pasaran”.

Katanya, selain bahan mentah, kilang pembuatan dibina mengikut spesifikasi tertentu yang mungkin tidak membenarkan sebarang peningkatan mendadak dalam kadar pengeluaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.