
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara mengesyorkan supaya BN bersikap agresif dalam mencadangkan dasar bagi menangani peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, ini akan membantu mewujudkan persepsi bahawa gabungan itu cuba membantu negara tetapi tangan mereka terikat.
Pentadbiran kerajaan sekarang termasuk Bersatu dan PAS adalah daripada pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dan Azmi berkata, ini menghalang BN daripada menunjukkan kawalan selain menyukarkannya menangkis serangan pembangkang.

“Tangan perdana menteri terikat kerana beliau perlu bersama Bersatu dan PAS. Beliau tidak boleh membuat keputusan sendiri,” katanya.
Azmi berkata, BN perlu terus mendesak supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin supaya ia boleh membentuk kerajaan tanpa PAS dan Bersatu.
“BN sepatutnya melakukan serangan dan berkata ia mahu membentuk kerajaan, mahu memegang kuasa,” katanya.
Memberi contoh mengenai kesukaran yang dihadapi kerajaan sekarang untuk membuat keputusan, beliau merujuk kepada perbincangan mengenai pemberian subsidi bersasar membabitkan minyak RON95 baru-baru ini.
Katanya, tiada apa yang dilakukan walaupun pelan dicadangkan beberapa tahun lepas.
“Rakyat minta kerajaan buat sesuatu sekarang, tetapi pada peringkat ini, tidak banyak yang dilakukan kerana perdana menteri perlu kebenaran daripada anggota Jemaah Menteri yang lain, yang sukar untuk diperolehi sekarang,” katanya.
Azmi berkata demikian susulan gesaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan agar BN melakukan “serangan” bagi mengubah persepsi orang ramai terhadap gabungan itu menjelang PRU15.
Mohamad berkata, “tuduhan dan persepsi rekaan” pembangkang akan memberi kesan negatif ke atas orang ramai dan beliau menyeru agar BN “tidak tenggelam” dalam menghadapi serangan Pakatan Harapan (PH) dan PN.
Azmi berkata, serangan utama oleh pembangkang adalah berkaitan kos sara hidup yang tinggi dan krisis makanan.
“Pembangkang buat kerja dengan baik bagi mewujudkan persepsi bahawa kerajaan tidak tahu apa yang ia lakukan atau apa yang patut dilakukan dan perkara itulah yang BN perlu tangani,” katanya.

Seorang penganalisis lain, Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia (USM) bersetuju bahawa desakan berhubung dasar bagi menangani kenaikan kos sara hidup adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan BN untuk mengatasi serangan daripada PH dan PN.
Namun katanya, kebanyakan serangan melibatkan perkara berhubung rasuah berbanding kos sara hidup dan ini membantu BN.
“Serangan itu tidak berhasil ketika pilihan raya negeri (PRN) Johor,” katanya.
“Cara BN-Umno membalas menggunakan dasar dan isu seharian ternyata berjaya.”
Dalam PRN Johor pada Mac, BN memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN, PH memenangi 11 kerusi dan PN memenangi tiga. PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri memenangi satu kerusi.