594 individu dikompaun merokok di kawasan larangan di Selangor

594 individu dikompaun merokok di kawasan larangan di Selangor

Seramai 594 individu dikenakan kompaun kerana merokok di kawasan larangan seperti di premis makanan, kawasan kompleks beli-belah dan lapangan terbang.

Sebanyak 50 notis dikeluarkan kepada premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 47 notis kepada premis gagal memastikan tiada yang merokok di dalam premis di Selangor semalam.
SHAH ALAM:
Sebanyak 752 notis berkaitan kesalahan merokok melibatkan kompaun bernilai RM192,850 dikeluarkan menerusi Ops Asap di seluruh Selangor, semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Sha’ari Ngadiman, berkata 594 individu dikenakan kompaun kerana merokok di kawasan larangan seperti di premis makanan (326), kawasan kompleks beli-belah (230) dan kawasan lapangan terbang (38) dikenakan tindakan.

Beliau berkata, 50 notis kesalahan lagi dikeluarkan kepada premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 47 notis kepada premis gagal memastikan tiada yang merokok di dalam premis.

“Selain itu 18 notis dikeluarkan ke atas penjual hasil tembakau yang gagal mempamerkan tanda larangan jualan kepada orang belum dewasa dan 43 notis lagi dikeluarkan bagi kesalahan lain di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, setiap kompaun yang dikeluarkan itu bernilai RM250 hingga RM500, yang sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan tindakan pendakwaan akan diambil dan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun boleh dikenakan.

Sha’ari berkata, operasi itu melibatkan 260 kakitangannya terdiri daripada pegawai kesihatan persekitaran dan penolong pegawai kesihatan.

Orang ramai yang mempunyai aduan mengenai kesalahan merokok, boleh menyalurkannya menerusi aplikasi WhatsApp di 010 8608949.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.