
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata dalam insiden 4 petang, kereta dipandu lelaki berusia 61 tahun ditahan sepasukan anggota yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah.
Beliau berkata, suspek bagaimanpun cuba melarikan diri dengan bertindak merempuh bahagian depan kereta polis sebelum memecut kenderaannya.
“Tindakan itu mengancam pihak berkuasa menyebabkan polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta suspek sebelum berjaya menahannya kira-kira 800m dari lokasi rempuhan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mior berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta lelaki itu menemukan 33 paket dadah jenis syabu seberat 62.5g.
“Polis turut menahan isteri suspek berusia 38 tahun serta anak pasangan itu berumur dua tahun yang berada dalam kereta tersebut bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.