Siasatan kewujudan kartel ayam di peringkat akhir

Siasatan kewujudan kartel ayam di peringkat akhir

MyCC sedang menyiasat keterlibatan kartel dalam mengawal harga ayam dan laporan lengkap dijangka dibentangkan dalam bulan ini, kata Rosol Wahid.

Beberapa saksi dalam kalangan penternak dan ‘integrator’ turut dipanggil untuk membantu siasatan MyCC berhubung kewujudan kartel ayam, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini di peringkat akhir dalam melengkapkan siasatan berhubung dakwaan kewujudan kartel yang bertindak mengawal harga dan pengeluaran ayam di dalam negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid berkata, beberapa saksi dalam kalangan penternak dan “integrator” turut dipanggil untuk membantu siasatan.

“Setakat ini MyCC sedang menyiasat keterlibatan kartel dalam (mengawal) harga ayam ini dan laporan lengkap dijangka dibentangkan dalam bulan Jun ini, sama ada betul atau tidak kita lihat berdasarkan hasil itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Jendela Fikir bertajuk “Larangan Eksport Tepung Gandum India Jejas Bekalan Tempatan?”, terbitan Bernama Radio hari ini.

MyCC menubuhkan pasukan khas pada awal Februari lepas untuk menyiasat dakwaan terdapatnya pelakuan anti-persaingan merangkumi perjanjian anti-persaingan atau penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam.

Sementara itu Rosol berkata, keputusan mengenai pelanjutan subsidi RM1.40 bagi sekilogram ayam yang dijadual tamat Ahad ini akan dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri hari ini.

“Kita ada beberapa cadangan berkaitan dengan hal tersebut dan hari ini mesyuarat akan tentukan sama ada nak teruskan, nak hentikan atau yang ketiga terus tapi dengan sedikit peningkatan. Mungkin Jemaah Menteri ada cadangan lain jadi keputusan bergantung kepada mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.